AM > BERITA

Sabah peruntuk RM33 juta untuk kursus perkukuh pembangunan modal insan

02/08/2024 10:30 PM

KOTA KINABALU, 2 Ogos (Bernama) -- Sabah memperuntuk RM33 juta tahun ini bagi  memperkukuh pembangunan modal insan terutama kursus serta latihan berkaitan kemahiran sains, teknologi dan inovasi.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata sebanyak RM12.92 juta lagi diperuntuk bagi pelaksanaan kursus dan penyelidikan di institut pertanian serta pusat pengajian tinggi di Sabah.

Justeru, beliau berkata kerajaan negeri sentiasa menyokong dan memberi bantuan kepada Universiti Malaysia Sabah termasuk dari aspek kewangan untuk menjalankan aktiviti penyelidikan yang berdaya saing.

"Selain itu membangunkan pengetahuan, menggalakkan inovasi, mengeluarkan produk bernilai tinggi, nilai untuk didagang serta meningkatkan imbangan dagangan yang lebih menguntungkan," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Hajiji berkata penyelidik harus memastikan segala penyelidikan dan inovasi yang dihasilkan menjadi penentu sesebuah universiti terus relevan atau sebaliknya dengan mengambil kira beberapa faktor signifikan antaranya realistik serta mampu menyelesaikan permasalahan masyarakat dan negara.

Beliau turut menyarankan mereka agar menjalankan penyelidikan yang menggabungkan pelbagai bidang serta menjalin kolaborasi dengan komuniti setempat dan pihak industri. 

Hajiji berkata inisiatif mewujudkan budaya penyelidikan memerlukan suntikan semangat sama ada dalam bentuk pengiktirafan mahupun sumbangan dana.

“Saya berharap agar universiti terus menyemarakkan budaya penyelidikan dalam kalangan  akademianya dan dibawa ke luar iaitu kepada masyarakat sejajar dengan saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang  mengarahkan agar para saintis turun ke 100 sekolah khasnya di pinggir dan luar bandar setiap bulan bagi mengadakan program pendedahan berkaitan sains,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan