AM > BERITA

APMM Dijangka Terima Ex-USCGC Steadfast Tahun Depan

03/08/2024 05:09 PM

KUANTAN, 3 Ogos (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dijangka menerima kapal Ex-United States Coast Guard Cutter (Ex-USCGC) Steadfast setelah proses penyediaan di Baltimore, Amerika Syarikat selesai dan dibawa pulang ke Malaysia pada suku tahun pertama 2025.

Pemangku Ketua Pengarah APMM Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata penyerahan kapal berkenaan bakal menjadi aset penting bagi memperkukuhkan keselamatan Zon Maritim Malaysia khususnya di Laut China Selatan.

“Pertambahan aset itu secara tidak langsung dapat memperluaskan lagi operasi dengan lebih berkesan dan efektif,” katanya pada sidang media selepas sesi tamat latihan Laskar Kelas II Maritim Siri 17/2023 yang melibatkan 75 pelatih di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS) di sini hari ini.

Saiful Lizan berkata kapal berukuran panjang 64.16 meter itu, mempunyai kelebaran 10 meter serta berat 1,100 tan dan boleh mengisi kapasiti 12 pegawai serta 63 anggota lain-lain pangkat dalam satu masa dengan kelajuan mencecah hingga 18 knot.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Dalam Negeri atas termeterai persetujuan kedua-dua pihak antara kerajaan Malaysia dan Amerika Syarikat melalui Surat Setuju Terima (LOA) bagi penyerahan kapal berkenaan. 

Dalam pada itu, beliau berkata proses pengeluaran tander kapal induk APMM dengan perolehan RM330 juta dijangka dimuktamadkan sebelum penghujung tahun ini.

Saiful Lizan berkata spesifikasi kapal tersebut dijangka akan dimuktamadkan pada hujung bulan ini, manakala sebelum dan menjelang suku pertama tahun depan akan mula dilaksanakan oleh syarikat yang dilantik.

Sementara itu, bagi menjadikan AMSAS sebagai pusat kecemerlangan antarabangsa beliau berkata pihaknya telah melaksanakan kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan fasiliti berkenaan bermula tahun lepas dengan nilai peruntukan keseluruhan RM1.3 juta.

“Sejumlah RM11 juta juga telah diperuntukkan kepada AMSAS di bawah Rancangan Malaysia Ke-12  bagi menaik taraf lapang sasar terbuka yang dijangka siap sepenuhnya pada 2026,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan