AM > BERITA

Malaysia-Thailand Tunjuk Isyarat Jelas Mahu Percepat Pertumbuhan Ekonomi - PM Anwar

03/08/2024 05:15 PM

PASIR MAS, 3 Ogos (Bernama) -- Kesepakatan Malaysia dan Thailand termasuk dalam pembinaan Jambatan Kedua Sungai Golok-Rantau Panjang dekat sini, memberi isyarat jelas bahawa kedua-dua negara mahukan pertumbuhan ekonomi kawasan itu berjalan pantas, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata kedua-dua negara juga bersetuju supaya tumpuan diberikan kepada pelaksanaan beberapa projek utama yang sudah lama tertangguh, sehingga ada yang telah mengambil masa puluhan tahun, kerana ia akhirnya akan memberi manfaat kepada rakyat.

“Pertemuan tadi kita minta (pembinaan projek jambatan kedua) disegerakan dan jadi keutamaan projek kerjasama antara Thailand dan Malaysia, untuk beri gambaran positif tentang peningkatan kerjasama dari segi peningkatan ekonomi untuk Narathiwat (selatan Thailand) dan utara Kelantan.

“Sementara jambatan siap, kita (Malaysia) juga harus mengadakan beberapa projek pembangunan daripada sudut peluang-peluang perniagaan, gerai dan warung serta tempat perniagaan yang lebih baik di kawasan berdekatan jambatan, supaya ia tidak hanya jambatan tetapi juga rangkaian perniagaan di sebelah Kelantan,” kata beliau.

Anwar berkata demikian pada sidang media sempena lawatan kerja ke Rantau Panjang dan Sungai Golok di Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Mas, di sini hari ini, yang turut melibatkan pertemuan dengan rakan sejawat dari Thailand Srettha Thavisin.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan