AM > BERITA

Liam, Yayasan Rose Bantu Usaha Sarawak Basmi Kanser Serviks

03/08/2024 06:07 PM

KUCHING, 3 Ogos (Bernama) -- Kerjasama julung kali antara Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) dan Yayasan ROS bagi menggalakkan inisiatif saringan HPV (Papilomavirus Manusia) di Sarawak menjadi langkah penting dalam usaha membasmi kanser serviks di negeri ini.

Ahli Jawatankuasa Pengurusan LIAM Datuk Koh Yaw Hui berkata kanser serviks berpotensi tinggi untuk dicegah dan dirawat dengan mengutamakan kepentingan imunisasi, pengesanan awal menerusi saringan HPV PCR ( tindak balas berantai polymerase) dan pengurusan yang berkesan.

“Industri insurans hayat komited dalam memperakui kanser serviks  sebagai penyakit yang boleh dicegah dan sifat insurans hayat yang berkembang seiring dengan kemajuan dalam perubatan pencegahaan dan penjagaan.

“Justeru, menerusi program saringan HPV ini kami berharap dapat meningkatkan kesedaran dan mendidik masyarakat mengenai HPV serta kanser berkaitan HPV, dengan penekanan bahawa pencegahan dan pengesanan awal boleh menyelamatkan nyawa,” katanya ketika berucap pada pelancaran Program Saringan HPV-Tanpa Meninggalkan Sesiapa di sini hari ini.

Beliau berharap inisiatif itu akan memberi manfaat kepada wanita terutama golongan kurang bernasib baik dan komuniti luar bandar di Sarawak kerana setiap daripada mereka berhak mendapat akses bagi program saringan HPV tersebut. 

Berdasarkan laporan, Sarawak mencatatkan kes kanser serviks tertinggi di Malaysia dengan nisbah 12.1 bagi setiap 100,000 penduduk sekali gus mengatasi kadar negara iaitu 10.2 bagi setiap 100,000 penduduk, seperti yang dianggarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Program saringan HPV itu yang dilancarkan oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, menyasarkan 10,000 wanita berusia 30 hingga 65 tahun daripada komuniti luar bandar dan kurang bernasib baik terutama di Sabah dan Sarawak. 

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif LIAM Mark O’Dell, Pengerusi Yayasan ROSE Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman, Pengasas yang juga Pemegang Amanah Yayasan ROSE Dr Woo Yin Ling dan Presiden-dipilih Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Datuk Dr Kalwinder Singh Khaira. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan