AM > BERITA

Festival Warisan Dan Patriotik Berupaya Ketengah Keunikan Lenggong - Saarani

03/08/2024 08:22 PM

LENGGONG,  3 Ogos (Bernama) -- Penganjuran Festival Pelancongan Warisan dan Patriotik 2024 pertama seumpamanya di negara ini berupaya mengetengahkan potensi keunikan Lenggong sebagai destinasi yang menggabungkan pembelajaran sejarah dengan pemupukan semangat patriotisme.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata penganjuran program itu bukan sahaja tepat pada masanya iaitu sempena Bulan Kemerdekaan, malah sangat bermakna dalam konteks patriotisme dan jati diri bangsa.

“Sebagai acara pembuka kepada sambutan Hari Kebangsaan ke-67, festival ini menyediakan platform untuk menyuntik dan memperkukuh semangat cinta akan tanah air dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya berucap pada majlis perasmian program berkenaan di sini hari ini.

Turut hadir pengasas program merangkap Yang Dipertua Persatuan Veteran VAT69 Datuk Abd Rashid Harun.

Saarani berkata melalui konsep yang menggabungkan dua aspek utama iaitu pemeliharaan warisan budaya dan pemupukan semangat patriotisme, pelancong bukan sahaja boleh melihat artifak dan bangunan lama, tetapi juga merasai denyut nadi perjuangan nenek moyang dahulu.

“Peserta bukan sahaja akan menjadi saksi, tetapi juga perintis dalam meneroka dimensi baharu pelancongan yang menggabungkan unsur warisan dan patriotisme. Pengalaman ini pasti akan membentuk perspektif baharu mereka tentang nilai sejarah dan semangat cintakan negara, sekali gus menjadi pemangkin kepada inovasi dalam sektor pelancongan pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, program tiga hari bermula semalam di Amazing Camp Legacy di sini antaranya membabitkan penerokaan tapak arkeologi, bengkel kraf tangan tradisional dan pertunjukan kebudayaan.

Peserta juga akan diajar kemahiran ikhtiar hidup di hutan seperti memasang jerat, menghidupkan api dan memasak yang akan menguji kekuatan minda serta fizikal mereka.

Turut diadakan Bicara Patriot iaitu perkongsian pengalaman oleh tokoh yang telah menyumbangkan bakti, keringat dan darah untuk kedaulatan negara antaranya detik sewaktu bertugas dan peristiwa bersejarah seperti insiden Al-Maunah di Hulu Perak, Peristiwa Lahad Datu di Sabah dan Black Hawk Down di Somalia.

Program berkenaan turut disertai veteran Komando VAT69, pesara polis dan veteran Angkatan Tentera Malaysia yang bertindak sebagai jurulatih.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan