AM > BERITA

Lima PPDK Bahagian Sibu Terima Bantuan Lebih RM1.18 Juta

03/08/2024 09:22 PM

SIBU, 3 Ogos (Bernama) -- Lima Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Bahagian Sibu menerima bantuan kewangan berjumlah RM1,188,938.40 daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Menteri berkenaan Datuk Seri Nancy Shukri berkata PPDK berkenaan ialah PPDK Murni, Dudong; PPDK Sibu; PPDK Nur Qaseh, Nangka dan PPDK Permai yang kesemuanya terletak di daerah Sibu serta PPDK Muhibbah, Bawan di daerah Kanowit.

Beliau berkata bantuan terbabit bertujuan menampung pemberian elaun pelatih Orang Kurang Upaya (OKU), caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), elaun pelatih, bayaran sewa premis dan bil utiliti.

“Bantuan kewangan itu untuk memastikan program dan aktiviti harian PPDK berjalan lancar termasuk program pemulihan dan pembangunan dengan penglibatan aktif keluarga serta masyarakat setempat," katanya selepas menyampaikan bantuan berkenaan semasa Majlis Perasmian PPDK Permai di sini hari ini. 

Ahli Parlimen Santubong itu berkata program PPDK merupakan strategi dalam pembangunan komuniti setempat bagi pemulihan, latihan, pendidikan, penyamaan peluang dan integrasi sosial OKU.

Nancy berkata sebanyak 55 PPDK di Sarawak menerima agihan bantuan geran kerajaan berjumlah RM13,774,230 pada 2024.

Peningkatan sebanyak 19 peratus atau RM2,247,023 pada tahun ini katanya, adalah untuk menampung peningkatan kadar elaun pelatih PPDK daripada RM150 sebulan kepada RM300 sebulan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan