AM > BERITA

Bekas ADUN Sungai Puyu Stabil, Masih Dipantau

03/08/2024 10:48 PM

GEORGE TOWN, 3 Ogos (Bernama) -- Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu Datuk Seri Phee Boon Poh yang dimasukkan ke hospital akibat serangan jantung pada Khamis lepas dilaporkan stabil dan kini dipantau di Unit Jagaan Koronari (CCU).

Anak perempuan Phee yang juga ADUN Sungai Puyu Phee Syn Tze berkata bapanya sedar pada malam tadi selepas menjalani pembedahan dan melepasi tahap kritikal, namun masih memerlukan pemantauan.

“Doktor baru memaklumkan bahawa semua lawatan dilarang untuk mengelakkan jangkitan bakteria selain perlu memastikan kadar degupan jantung kekal stabil.

“Sebarang lawatan boleh menjejaskan tekanan darah dan kadar degupan jantung. Kami berharap semua pihak dapat memberi kami sedikit ruang dan masa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Phee berkata bapanya turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan kesihatan dan kesembuhannya.

Semalam, Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata Phee,72, dirawat di hospital kerana serangan jantung.

Beliau adalah bekas Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kebajikan Pulau Pinang dan memegang jawatan ADUN selama empat penggal sebelum bersara pilihan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lepas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan