AM > BERITA

Himpunan Pembebasan Palestin Bukti Rakyat Malaysia Terus Bersolidariti Bersama Palestin

04/08/2024 08:27 AM

KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Himpunan Pembebasan Palestin yang berlangsung hari ini sekali lagi bakal menyaksikan rakyat Malaysia terus bersatu hati dalam menzahirkan solidariti dan sokongan kepada rakyat Palestin.

Dijadual bermula pada 6 petang di Axiata Arena, Bukit Jalil, himpunan itu juga bagi menyampaikan mesej kepada dunia bahawa Malaysia mengutuk pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas Ismail Haniyeh, sekali gus menentang kekejaman rejim Zionis yang tidak berkesudahan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyampaikan pidato pada acara kemuncak himpunan itu, untuk menyatakan sokongan terhadap perjuangan Palestin bersama beberapa pemimpin lain.

Antara program yang diatur ialah Pidato Solidariti Palestin, solat Maghrib berjemaah, sesi tayangan video khas dan diakhiri dengan Doa Qunut Nazilah.

Semalam, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata kira-kira 20,000 orang dijangka hadir di stadium itu bagi menzahirkan sokongan mereka kepada rakyat Palestin.

Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan turut menyeru semua pihak termasuk ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara tanpa mengira fahaman politik, untuk hadir ke perhimpunan itu.

Difahamkan juga kira-kira 40 wakil diplomatik akan turut hadir pada himpunan berkenaan.

Sebelum ini, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu yang dipertanggungjawabkan mengetuai himpunan itu, menyeru orang ramai menyatakan sokongan bersama rakyat Palestin demi melindungi orang-orang tertindas serta terbunuhnya Haniyeh.

Haniyeh dilaporkan terbunuh dalam serangan udara Israel yang menyasarkan kediamannya di utara Tehran pada kira-kira 2 pagi waktu Iran, pada 31 Julai. Beliau berada di ibu negara Iran itu untuk menghadiri majlis pelantikan Presiden Iran yang baharu, Masoud Pezeshkian.

Pada 24 Okt tahun lepas, Himpunan Malaysia Bersama Palestin diadakan di Axiata Arena yang menghimpunkan pemimpin politik Kerajaan Perpaduan dan pembangkang, bagi menyatakan solidariti kepada rakyat Palestin.

Tanpa mengira latar belakang, agama dan bangsa, himpunan berkenaan juga menyaksikan penyertaan lebih 15,000 rakyat Malaysia, yang turut sama menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi.

Himpunan Solidariti Bersama Gaza juga pernah diadakan di Masjid Negara pada 13 Okt 2023 bagi tujuan sama.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan