AM > BERITA

Sungai Tembeling Kering, Jejas Penduduk Pedalaman

04/08/2024 11:29 AM

Oleh Sakini Mohd Said

KUANTAN, 4 Ogos (Bernama) -- Dataran berpasir yang luas sehinggga membentuk beberapa beting pasir selebar kira-kira 100 meter (m) dan 200m panjang di Sungai Tembeling, Jerantut akibat cuaca panas melampau dan kering sejak April lepas begitu memberi kesan kepada penduduk pedalaman Kampung Gusai. 

Kedudukannya yang terpencil dan paling hujung di persisiran sungai berkenaan yang terletak di kawasan tumpuan pelancong Taman Negara selepas Kampung Mat Daling, Kampung Bantai, Kampung Sungai Kuching, Kampung Kuala Sat dan Kampung Pagi, kampung itu tiada alternatif lain selain hanya boleh diakses melalui jalan balak dan air sahaja. 

Tok Empat Kampung Gusai Ahmad Abu Bakar, 66, berkata hanya tiga penduduk sahaja di kampung yang mempunyai lebih 200 penduduk itu mempunyai kereta pacuan empat roda, manakala selebihnya bergantung penuh pada bot kecil berkapasiti enjin 15 kuasa kuda dan juga rakit bagi urusan di pekan termasuk mengangkut motosikal. 

"Perjalanan ke kampung ini memang ambil masa lama dari Kuantan ke Kampung Pagi dalam daerah Jerantut kira-kira lima jam perjalanan, kemudian perlu menaiki Hilux ke Kampung Mat Daling kira-kira sejam setengah. 

"Bagi yang tidak ada Hilux akan berhenti di Kampung Bantai kerana ada jeti Sungai Tembeling di situ dan akan menyusuri sungai berkenaan menggunakan bot atau sampan tradisional ke Sungai Sepia selama sejam ke kampung kami (Kampung Gusai)," katanya kepada Bernama. 

Namun, keadaan air Sungai Tembeling yang semakin menyusut sehingga membentuk beberapa beting pasir bukan sekadar menjejaskan kehidupan harian penduduk kampung itu yang majoriti orang Melayu untuk aktiviti penangkapan ikan atau membawa anak dan guru ke sekolah. 

Ahmad berkata kos perbelanjaan penduduk kampung untuk membeli barang dapur serta pengusaha chalet mendapatkan bahan binaan juga agak mahal sehingga ada yang mencecah tiga kali ganda berbanding harga di pasaran. 

"Cuaca panas ini sejak Mac tetapi pada waktu itu, seminggu atau dua minggu akan hujan. Tetapi apabila masuk bulan Julai, langsung tidak hujan. Kampung Gusai agak kritikal kerana Sungai Sepia agak cetek berbanding Sungai Tembeling kerana terletak di hulu. 

"Ada sebab mereka letak harga mahal kerana nak menyusuri ke jeti Kampung Bantai, risiko enjin rosak adalah tinggi sebab bila tarik bot, enjin kena batu-batu sungai. Tarik (bot) pun perlukan kudrat dari sejam perjalanan ke jeti, boleh jadi lebih daripada itu disebabkan air surut dan adanya beting pasir," katanya.

Biarpun begitu, Ahmad berkata situasi berkenaan sebaliknya memberi rahmat kepada penduduk kampung yang mengusahakan perniagaan inap desa atau chalet apabila mereka menerima kedatangan ramai pelancong yang ingin menerokai situasi beting pasir itu. 

"Meriah. Apabila sungai cetek, ramai pula yang bawa keluarga untuk bermandi-manda di sungai. Jadi memang sambutan menggalakkan dan kami pula buat aktiviti bola tampar di beting pasir atau aktiviti berjalan kaki pada waktu malam di dataran pasir itu," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata untuk menyediakan penginapan lebih selesa ada pengusaha chalet terpaksa membeli bahan binaan yang kos agak tinggi kerana sukar ke pekan untuk mendapatkannya dan terpaksa bergantung pada orang tengah. 

Perkampungan itu tidak sekadar tertumpu kepada aktiviti pelancongan akan tetapi sumber ekonomi utama penduduk yang turut bergantung kepada pertanian pisang juga sangat terkesan, kata Wan Hassan Wan Bakar, 63. 

"Kebanyakan petani pisang di kampung ini warga emas dan kami menanam pisang tanduk, jelai berangan dan jual di Kampung Bantai. Biasanya kami akan bawa lebih kurang 200 kilo pisang menggunakan bot sebab tidak mampu untuk beli Hilux. 

"Susahlah apabila air surut sebab banyak kali terkandas dan kena tarik. Bukan mudah jalan sungai berbengkang-bengkok, ikut alur sungai dan kalau cetek memang memerlukan kudrat tambah lagi dah usia begini. Tetapi, kena buat juga sebab itulah sumber pendapatan,” katanya. 

Sementara itu, menurut laman sesawang Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) suhu maksimum harian di daerah Jerantut merekodkan 33 darjah Celsius dan dalam tempoh 1 hingga 31 Julai lepas hanya lapan hari sahaja direkodkan hujan. 

Sebelum ini, daerah yang terkenal dengan masakan gulai asam rong ini pernah merekodkan status cuaca panas tahap atau berjaga-jaga di Semenanjung selain daerah lain di Pahang iaitu Raub, Bentong dan Temerloh serta Pasir Mas dan Kuala Krai di Kelantan. 

MetMalaysia sebelum ini menjelaskan taburan hujan yang rendah dijangka berterusan sehingga bermula fasa peralihan monsun dengan situasi itu menyebabkan Malaysia berdepan cuaca lebih panas dan kering sehingga pertengahan September. 

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) MetMalaysia Dr Mohd Hisham Mohd Anip ketika dihubungi Bernama berkata situasi yang berlaku di Kampung Gusai yang menyaksikan beberapa beting pasir terbentuk di Sungai Tembeling disebabkan fenomena El-Nino pada pertengahan tahun lepas sehingga bulan lepas.

"Memang taburan hujan sedikit di kebanyakan tempat pada ketika ini disebabkan kita berada dalam musim Monsun Barat Daya. Beberapa tempat di Perak, Kedah, Pahang, Kelantan dan Sabah sangat terkesan. Insya-Allah, pertengahan September nanti taburan hujan akan lebih banyak," katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan