AM > BERITA

RM16 Billion Ialah Peruntukan Keseluruhan Untuk Sabah - PM Anwar

04/08/2024 06:00 PM

KOTA KINABALU, 4 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menjelaskan bahawa RM16 bilion diumumkannya untuk Sabah pada Pesta Kaamatan 31 Mei lepas, ialah peruntukan keseluruhan untuk negeri itu bagi tahun ini, dan bukan hanya untuk pembangunan sahaja.

Beliau berkata jumlah itu adalah untuk perbelanjaan pelbagai perkara antaranya sekolah, pendidikan untuk anak-anak, menjaga sempadan bagi keselamatan rakyat dan pembangunan negeri.

Justeru, katanya dakwaan kononnya beliau menipu tentang peruntukan itu tidak benar sama sekali dan menasihatkan kepada semua pihak terutama pemimpin yang dianggapnya sebagai kawan, supaya mendapatkan maklumat yang sahih atau terus bertanya kepadanya sebelum mengeluarkan kenyataan.

“Tidak hanya RM6.6 bilion sahaja (peruntukan untuk Sabah seperti didakwa), kerana RM6.6 bilion itu hanya peruntukan pembangunan…siapa nak bayar guru, siapa nak baiki jalan dan jaga sempadan... itu semua termasuk dalam RM16 bilion. Ada yang kata letak (nombor) satu di depan jadilah RM16 bilion, jangan begitu.

“Kalau mahu jadi kawan, perangai macam kawan. Mesti ada adab sebagai kawan. Tidak perlu cakap terima kasih kepada kita, hanya hargailah sikit. Kalau tidak cukup kita runding, minta lagi secara baik sebagai kawan itu tiada masalah,” katanya berucap pada Konvensyen Keadilan Sabah di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah, Pengerusi Pakatan Harapan Sabah Datuk Christina Liew, Pengerusi Barisan Nasional Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Majlis itu turut dihadiri Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu Datuk Ewon Benedick, Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah Datuk Arthur Joseph Kurup, dan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Sabah Datuk Mustapha Sakmud.

Pada 31 Mei, ketika berucap menutup Pesta Kaamatan 2024 di Penampang dekat sini, Anwar memaklumkan sejak menjadi Perdana Menteri beliau sentiasa berusaha meningkatkan peruntukan untuk Sabah bagi membantu rakyatnya, iaitu daripada RM12.9 bilion pada 2022 kepada RM16 bilion tahun ini.

Anwar berkata tahun lepas pula kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan RM13.9 bilion kepada negeri itu, sekali gus membuktikan komitmennya itu hasil kerjasama erat dengan Hajiji, kerajaan negeri dan rakan Kerajaan Perpaduan lain.

“Saya simpati terutama kesesakan sekolah, rakyat tiada peluang berniaga, anak muda tiada pekerjaan ...kita berjuang dari bawah bukan dari kayangan, sampai ke pelusuk kawasan kita nak selesaikan. Setiap kali saya lihat media sosial, ada berita anak muda panjat pokok dapatkan connectivity (Internet).

“Anak kita guna jambatan kecil separuh goyang nak pergi sekolah, sungguh mengesankan saya. Jadi kita harus selesaikan semua ini sedaya upaya kita. Kita bersama dalam sebuah negara Malaysia ini, susah senang kita sama-sama,” katanya.

Beliau berkata terdapat juga projek yang tidak termasuk dalam peruntukan keseluruhan tahun ini antaranya RM1 bilion menaik taraf kemudahan sempadan terutama melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Imigresen dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

“Pemberian kepada negeri termasuk dalam (Perkara) 112D (Perlembagaan Persekutuan) diberi sementara dan kita dah tambah tahun ini. Saya bagi komitmen, MA63 (Perjanjian Malaysia 1963) itu janji harus tunaikan, tetapi tahun ini kita laksanakan lebih banyak dari 10 tahun sebelumnya,” katanya.

Perdana Menteri berkata beliau tidak mempunyai sebarang masalah apabila Sabah dan Sarawak meminta peruntukan yang lebih, namun ia perlu melalui meja rundingan sebagai rakan kongsi yang rapat dan mesra.

“Perkara 112D masih dirundingkan (jumlah peningkatannya) kerana perjanjian sebelum ini (MA63) menyebut dalam keadaan kewangan mengizinkan. Kami warisi hutang yang banyak, bukan masa saya. Tetapi disebabkan kita warisi kita kena bayar, jika tak bayar orang tak yakin, tak melabur di negara kita,” katanya.

Sementara itu, Anwar berkata sebanyak RM10.2 bilion hasil dari Sabah diserah kepada Persekutuan tahun lepas dengan RM7.2 bilion daripada jumlah itu merupakan cukai yang dikutip Lembaga Hasil Dalam Negeri berjumlah.

Perdana Menteri berkata hasil lain termasuk bayaran tunai diperoleh berjumlah RM1.7 bilion, duti kastam dan eksais (RM700 juta) dan cukai dalam negeri (RM600 juta).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan