AM > BERITA

Orang Ramai Tidak Kira Bangsa, Agama Diseru Hadir Himpunan Pembebasan Palestin

04/08/2024 04:38 PM

KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Seluruh rakyat Malaysia tidak mengira bangsa dan agama diseru menghadiri Himpunan Pembebasan Palestin di Axiata Arena, Bukit Jalil, yang dijadualkan berlangsung pada 6 petang ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu yang dipertanggungjawabkan mengetuai himpunan itu berkata kehadiran orang ramai adalah sebagai tanda solidariti dan sokongan kepada rakyat Palestin.

“Orang ramai dijemput hadir. Semua kaum, semua agama sebab perjuangan membela rakyat Palestin ini adalah perjuangan bercorak kemanusiaan, soal hak asasi manusia… semua kaum diminta hadir bersama-sama menjayakan himpunan solidariti bersama Palestin malam ini yang juga akan diisi dengan ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya menyeru pada saat akhir ini supaya mereka yang berada di kawasan sekitar Wilayah Persekutuan ini sempat untuk bersiap dan datang ke sini bermula 6 petang diikuti solat maghrib, solat hajat dan sebagainya,” katanya ketika meninjau persiapan akhir himpunan itu di Axiata Arena.

Beliau berkata setakat 3 petang, segala persiapan himpunan itu berjalan lancar. 

“Raptai telah dibuat dengan begitu teliti yang turut disertai mereka yang akan mengambil bahagian termasuk pemuisi dan penceramah… insya-Allah majlis malam ini akan berjalan dengan lancar,” katanya. 

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak perlu khuatir dengan akses parkir dan bersabar sekiranya berdepan kesesakan lalu lintas.

“Selain itu, kalau di dalam Axiata Arena sudah penuh, insya-Allah kita akan buka Stadium Nasional Bukit Jalil dengan disediakan tayangan skrin besar,” katanya. 

Himpunan Pembebasan Palestin itu adalah bagi menyampaikan mesej kepada dunia bahawa Malaysia mengutuk pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas Ismail Haniyeh, sekali gus menentang kekejaman rejim Zionis yang tidak berkesudahan.

Anwar dijadual menyampaikan pidato pada acara kemuncak himpunan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan