AM > BERITA

Himpunan Pembebasan Palestin: Anggota Trafik Sedia Kawal Lalu Lintas

04/08/2024 07:03 PM

KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 65 pegawai dan anggota trafik ditugaskan mengawal lalu lintas bagi memastikan kelancaran aliran trafik di sekitar Axiata Arena, Bukit Jalil di sini yang menjadi lokasi Himpunan Pembebasan Palestin petang ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Polis Kontinjen Kuala Lumpur ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata semua kawasan tempat letak kereta awam juga telah diarahkan dibuka bagi memudahkan orang ramai yang hadir ke perhimpunan berkenaan dengan kenderaan masing-masing.

 "Pengguna jalan raya dilarang meletakkan kenderaan di bahu jalan untuk menggelakkan kesesakan serta halangan dan pengguna jalan raya juga dinasihatkan supaya mematuhi arahan anggota trafik yang bertugas," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, pemerhatian Bernama setakat 4.30 petang tadi mendapati, walaupun terdapat  pertambahan jumlah kenderaan, namun aliran trafik di jalan utama dan lebuh raya menuju ke Bukit Jalil masih lancar.

Dijangkakan trafik akan mulai sesak pada lewat petang nanti susulan kehadiran orang ramai ke himpunan berkenaan yang dianjurkan bagi menyatakan sokongan Malaysia kepada rakyat Palestin.

Semalam, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata kira-kira 20,000 orang dijangka hadir ke stadium itu untuk menzahirkan sokongan mereka kepada rakyat Palestin. 

Dijadual bermula pada 6 petang, himpunan itu antara lain bertujuan menyampaikan mesej kepada dunia bahawa Malaysia mengutuk pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas Ismail Haniyeh, sekali gus menentang kekejaman rejim Zionis yang tidak berkesudahan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga dijangka menyampaikan pidato pada acara kemuncak himpunan untuk menyatakan sokongan terhadap perjuangan Palestin, bersama-sama beberapa pemimpin lain.

Antara program yang diatur ialah Pidato Solidariti Palestin, solat maghrib berjemaah, sesi tayangan video khas dan diakhiri dengan doa Qunut Nazilah.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan