AM > BERITA

Percepat Bina Lebuhraya Pan Borneo Sabah - PM Anwar

04/08/2024 05:56 PM

KOTA KINABALU, 4 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu pembinaan Lebuhraya Pan Borneo di Sabah dipercepat bagi membolehkan rakyat negeri itu menikmati kemudahan jalan raya lebih baik.

Beliau berkata pembinaan lebuh raya itu yang sudah tertangguh agak lama, perlu disegerakan tanpa sebarang alasan.

"(Lebuhraya) Pan Borneo Sarawak hampir siap. Sabah terkontang-kanting lagi. Jadi, sudah dipersetujui dengan kerajaan negeri Sabah, kita buat secepat mungkin. Saya beritahu (Menteri Kerja Raya) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, saya serahkan (kepada mereka), saya tidak campur.

"Saya nak cepat (disiapkan) supaya rakyat Sabah melihat ada projek puluhan bilion ringgit ini, lebuh raya terpanjang di Malaysia - Pan Borneo.

"Lebuh raya di Semenanjung ada tol, dibayar oleh pengguna. Lebuh raya di Sabah dan Sarawak, kerajaan beri percuma untuk rakyat guna," kata beliau ketika berucap pada Konvensyen Keadilan Sabah di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah, Pengerusi Pakatan Harapan Sabah Datuk Christina Liew dan Pengerusi Barisan Nasional Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Hadir sama Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu Datuk Ewon Benedick, Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah Datuk Arthur Joseph Kurup dan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Sabah Datuk Mustapha Sakmud.

Pada 29 Julai lepas, Nanta memberitahu pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1A kini mencapai tahap 77.41 peratus dan dijangka siap sepenuhnya selewat-lewatnya pada 2026.

Beliau berkata sebanyak empat daripada keseluruhan 15 pakej kerja dalam fasa itu telah disiapkan, manakala baki 11 pakej dalam proses pembinaan.

Mengulas pelaksanaan penyasaran subsidi diesel, Anwar berkata kerajaan Persekutuan mengambil langkah berkenaan antara lain sebagai usaha mencegah daripada bahan api itu terus dicuri oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk dijual ke sempadan negara.

Beliau berkata Sabah dan Sarawak dikecualikan daripada keputusan pelaksanaan itu berikutan keadaan jalan raya di kedua-dua negeri, selain kebergantungan tinggi rakyat kepada penggunaan kenderaan pacuan empat roda yang menggunakan bahan api diesel untuk kehidupan mereka.

"Di Semenanjung kurang guna diesel melainkan nelayan dan pekebun kecil. Tetapi kita bagi RM200 setiap bulan untuk menampung kos diesel. Tapi kalau di Sabah dan Sarawak, tidak terbuat, terlalu ramai pakai diesel," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan