AM > BERITA

Penduduk Nantikan Jambatan Kedua Rantau Panjang-Sungai Golok, Wujud Ruang Niaga

04/08/2024 10:20 PM

KOTA BHARU, 4 Ogos (Bernama) -- Pembinaan jambatan kedua yang menghubungkan Rantau Panjang, Kelantan dan Sungai Golok, Thailand dinantikan penduduk bagi membolehkan mereka menjana pendapatan khususnya menerusi pengwujudan ruang niaga.

Penghulu Mukim Lubok Gong Syed Abu Bakar Syed Mat Nor berkata jambatan itu apabila siap kelak mampu merancakkan aktiviti perniagaan menerusi jualan produk berasaskan makanan halal, buah-buahan, pakaian dan cenderahati.

"Sudah pasti apabila projek pembangunan jambatan ini siap, ia memberi kelebihan dari sudut peluang perniagaan, gerai dan warung yang lebih baik di kawasan berhampiran jambatan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Syed Abu Bakar berkata jambatan terbabit juga dilihat mampu menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas yang berlaku di situ pada hujung minggu.

"Pada setiap Jumaat dan Sabtu serta cuti sekolah, berlaku kesesakan hingga tiga jam berikutan hanya satu laluan boleh digunakan dari Rantau Panjang ke Sungai Golok," katanya. 

Semalam, media melaporkan Malaysia dan Thailand bersetuju mempercepat pelaksanaan jambatan kedua Sungai Golok-Rantau Panjang menerusi lawatan kerja Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama rakan sejawatannya dari Thailand Srettha Thavisin.

Anwar dilaporkan berkata pelaksanaan pembinaan jambatan kedua itu dijangka mengambil masa dua tahun selepas dimulakan pada April tahun depan, namun beliau optimis ia masih boleh dipercepat atau fast track tanpa menjejaskan kualiti jambatan tersebut.

Malaysia-Thailand juga setuju untuk melaksanakan pembersihan Sungai Golok bagi mengatasi masalah banjir.

Sementara itu, Pengerusi Komuniti Banjir Rantau Panjang Nor Hisyam Abdullah menyifatkan kerja menggali dan membersihkan Sungai Golok serta penyelesaian bencana di kawasan berkenaan sebagai langkah tepat.

"Memandangkan air sungai sudah cetek terutama ketika musim kemarau baru-baru ini, usaha menggali dan membersihkan sungai supaya tiada timbunan yang menyekat pengaliran air ke laut serta menyebabkan banjir adalah tindakan paling sesuai. 

"Banjir ini paling terkesan di tempat pembinaan benteng termasuk Kampung Gual To' Deh, Tersang, Padang Licin dan Serongga," katanya.

Beliau berkata pada masa ini usaha tidak menutup laluan air berhampiran Sungai Lanchang, Pengkalan Telok adalah sesuai bagi mengelak banjir besar dan air termenung.

--BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan