AM > BERITA

Naskhah ‘Gabenor Pertama Sarawak, Tun Openg’ Beri Peluang Jeniri Menelusuri Sejarah Tokoh

04/08/2024 08:02 PM

KUCHING, 4 Ogos (Bernama) -- Biografi ‘Gabenor Pertama Sarawak, Tun Openg’ yang memakan masa 16 tahun untuk disiapkan, diharap menjadi sumber inspirasi kepada generasi muda masa kini.

Penulisnya Datuk Dr Jeniri Amir yang juga penerima Anugerah Khas Hadiah Kewartawanan MPI-Petronas 2021 berkata tempoh yang panjang diambil kerana beliau melakukan penyelidikan dan penulisan secara teliti berkisarkan kehidupan figura tersohor berkenaan, sebelum hasil nukilannya yang ke-58 itu menemui pembaca.

Beliau malah menjejaki kisah Allahyarham Tun Abang Openg Abang Sapiee serta dokumen penting perkembangan Sarawak yang membawanya hingga ke Kota London.

“Langkah pertama memulakan perjalanan panjang dan berliku untuk buku ini berlaku pada 2008, yang membawa saya ke Singapura dan London bagi meneliti pelbagai dokumen berkaitan Sarawak dan tokoh Tun Openg. 

“Buku ini memaparkan segala cabaran, kejayaan dan pengorbanan yang telah beliau (Abang Openg) lalui demi negeri dan bangsa dan saya tentunya lega selepas melakukan penyelidikan dan penulisan yang memakan masa yang begitu panjang,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran buku itu di sini hari ini. 

Beliau berkata Abang Openg memberi sumbangan besar kepada pembentukan dan pembangunan Sarawak serta mencerminkan kepemimpinan penuh integriti dalam memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat manfaat daripada agenda pembangunannya.

Dalam pada itu,  anak Allahyarham yang juga Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg pula menganggap gabenor pertama negeri itu sebagai mentornya yang sentiasa menekankan kepentingan pendidikan serta kematangan ekonomi.

“Sekarang kita bercakap mengenai era baharu, tetapi saya membawa semangatnya apabila berpeluang untuk memimpin Sarawak, yang menjadi asas untuk maju ke hadapan,” katanya.  

Mengandungi 26 bab, buku berkenaan menelusuri kerjaya politik Tun Openg yang mula berkhidmat sebagai kerani sebelum menjadi pegawai kerajaan dan dilantik sebagai Gabenor pertama Sarawak setelah negeri itu menjadi sebahagian daripada Malaysia pada 1963 sehingga beliau meninggal dunia pada 28 Mac 1969.

Penceritaan perjalanan politik tokoh pemimpin Bumi Kenyalang setebal 333 muka surat itu merangkumi empat zaman iaitu semasa pemerintahan Charles Brooke, pendudukan Jepun, penjajahan British dan era selepas Malaysia merdeka.

Dilahirkan pada 7 Okt 1905 di Kuching, Tun Openg dikurniakan 10 anak hasil perkahwinannya dengan Toh Puan Dayang Masniah Abang Abdul Rahman.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan