AM > BERITA

Himpunan Pembebasan Palestin: Laungan Bebaskan Palestin Bergema Di Axiata Arena

04/08/2024 08:48 PM

KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Laungan ‘Bebaskan Palestin’ dan ‘Israel Bacul’ bergema di sekitar Axiata Arena, Bukit Jalil di sini apabila peserta mula tiba bagi menghadiri Himpunan Pembebasan Palestin.

Pada 6.20 petang tadi, orang ramai yang hadir berpakaian serba putih sebagai tanda solidariti kepada rakyat Palestin mula memenuhi segenap ruang di dalam Axiata Arena selepas dibenarkan masuk dengan terlebih dahulu perlu melalui pemeriksaan keselamatan.

Semangat solidariti peserta himpunan juga terserlah dengan masing-masing hadir membawa dan mengibarkan bendera Palestin dan Jalur Gemilang, selain pelbagai sepanduk tertera kata-kata sokongan dan doa buat mereka yang terkesan situasi di Gaza.

Semalam, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata kira-kira 20,000 orang dijangka hadir bagi menzahirkan sokongan mereka kepada rakyat Palestin. 

Himpunan Pembebasan Palestin antara lain bertujuan menyampaikan mesej kepada dunia bahawa Malaysia mengutuk pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas Ismail Haniyeh, sekali gus menentang kekejaman rejim Zionis yang tidak berkesudahan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menyampaikan pidato pada acara kemuncak himpunan untuk menyatakan sokongan terhadap perjuangan Palestin, bersama-sama beberapa pemimpin lain.

Antara program yang diatur ialah Pidato Solidariti Palestin, solat maghrib berjemaah, sesi tayangan video khas dan diakhiri dengan doa Qunut Nazilah.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan