AM > BERITA

FGTM Disaran Jalin Kerjasama Dengan Tukang Jahit Mahir ASEAN, Asia

04/08/2024 11:33 PM

KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Persekutuan Persatuan-Persatuan Tukang Jahit Malaysia (FGTM) disaran supaya menjalin kerjasama dengan tukang jahit mahir di seluruh ASEAN dan Asia, berikutan Malaysia akan mengambil alih peranan sebagai Pengerusi ASEAN tahun depan.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata menerusi kerjasama seumpama itu, pakaian tradisional Malaysia yang kaya dengan warisan boleh dimanfaatkan untuk mencipta koleksi khusus yang mempamerkan identiti budaya dan hasil kerja tangan yang unik.

"Jahitan sebagai satu kesenian telah membentuk budaya dan masyarakat sejak sekian lama. Melangkaui fungsinya, ia memainkan peranan ekonomi yang penting.

“Industri fesyen, didorong oleh kemahiran tukang jahit yang berbakat memberikan sumbangan yang  bermakna kepada kesejahteraan ekonomi Malaysia.

“Ia memupuk penciptaan pekerjaan, menjana pendapatan dan memacu pertumbuhan ekonomi,” katanya berucap pada Pertunjukan Fesyen Antarabangsa, Fashion Mosaic: A Tapestry of Global Styles, Majlis Makan Malam dan Anugerah Kongres Persekutuan Tukang Jahit Master Asia ke-28 di sini malam ini.

Teo yang mewakili Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming turut mengumumkan peruntukan RM50,000 untuk mengukuhkan industri jahitan di negara ini.

Pada majlis berkenaan, Presiden FGTM Sam Ng Teck Yau menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat manakala Presiden Persekutuan Tukang Jahit Master Sedunia Ho Liang-Hung menerima Anugerah Nobel Meritorious.

Juara Pertandingan Memotong Master Antarabangsa 2024 Estie Wong dari Malaysia dan juara Pertandingan Memotong Junior 2024 Tseng Chih-Hsuan dari Taiwan membawa pulang Gunting Emas.

FAMT 2024 yang menghimpunkan lebih 300 tukang jahit mahir, pereka serta peminat fesyen dari 14 negara di Asia dan Eropah berlangsung selama enam hari bermula Jumaat lepas.

Ia menyediakan platform kepada peserta untuk berkongsikan pengalaman, idea, teknik serta memupuk kerjasama dalam menangani cabaran pasaran dan persekitaran.

 -- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan