AM > BERITA

Kadar Kenaikan Gaji Penjawat Awam Selangor Dilaksanakan Selaras Pengumuman PM

05/08/2024 11:44 AM

SHAH ALAM, 5 Ogos (Bernama) -- Lebih 21,000 penjawat awam Selangor bakal menerima kadar baharu kenaikan gaji selaras dengan pengumuman yang akan dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dijadualkan sebelum pembentangan Belanjawan 2025.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata kadar baharu itu bergantung kepada jumlah yang ditetapkan oleh kerajaan Persekutuan selepas ini.

“Kita akan ikut (kerajaan Persekutuan) dan lihat berapa kadar yang ditetapkan. Dengan rizab (simpanan kewangan) yang kita ada, kita boleh beri (kenaikan),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Himpunan Penjawat Awam Selangor dan Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri Selangor 2024 di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz di sini, hari ini.

Pada 3 Mei lepas, Amirudin dilaporkan berkata pelarasan gaji kakitangan awam Selangor akan dilaksanakan setelah kerajaan negeri mendapat pekeliling kenaikan gaji penjawat awam daripada kerajaan Persekutuan.  

Sebelum ini, Perdana Menteri dilaporkan berkata kadar baharu kenaikan gaji bagi penjawat awam akan diumumkan sebelum pembentangan Belanjawan 2025 yang dijadualkan pada Oktober ini.

Kali terakhir kadar baharu kenaikan gaji penjawat awam diumumkan adalah sekitar 13 peratus pada 2013.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan