AM > BERITA

N. Sembilan Perkasa TVET, Beri Peluang Pelajar Teruskan Pengajian

05/08/2024 12:57 PM

SEREMBAN, 5 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sembilan terus memperkasakan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk memberi peluang kepada pelajar kurang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) meneruskan pengajian.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pendidikan dan Modal Insan negeri Datuk Ismail Lasim berkata pelbagai usaha dilakukan termasuk mempromosi bidang itu di sekolah dan menubuhkan Majlis Perundangan TVET serta  Jawatankuasa Eksekutif TVET, selain kerjasama dengan kementerian berkaitan.

“Pencapaian SPM di Negeri Sembilan terus meningkat dari tahun ke tahun. Pada tahun lepas, daripada 14,158 calon, 631 daripadanya memperoleh gred A+, A dan A- berbanding 533 calon pada 2022.

“Untuk yang kurang cemerlang, kita sedang usaha promosikan TVET dan menguar-uarkan bidang ini di sekolah supaya mereka faham. Ini bertujuan beri peluang kepada mereka untuk meneruskan pengajian dalam bidang kemahiran,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Datuk ZaifulBahri Idris (BN-Chembong) yang ingin tahu usaha kerajaan negeri dalam membantu pelajar yang kurang cemerlang dalam SPM untuk meneruskan pengajian.

Dalam pada itu, Ismail berkata prestasi pencapaian SPM 2023 di negeri mencatatkan keputusan ynag lebih baik dengan Gred Purata Negeri (GPN) sebanyak 4.33 mata berbanding 4.50 mata pada SPM 2022.

Beliau berkata jurang bandar dan luar bandar juga semakin mengecil dan bertambah baik dengan  kadar perbezaan jurang 0.01 mata bagi SPM 2023 dan 2022.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan