AM > BERITA

Selangor Sedia Tapak Untuk Peniaga Berlesen Bazarena Selepas KSSA Siap

05/08/2024 02:02 PM

SHAH ALAM, 5 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Selangor memberikan jaminan semua peniaga berlesen yang berniaga di Bazarena Stadium Shah Alam, Seksyen 13 di sini akan ditempatkan di kawasan khas di Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) apabila ia siap dibina pada 2026.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata tapak perniagaan Bazarena yang menempatkan peniaga Pasar Tani dan Pasar Karat di stadium itu ketika ini sudah ditetapkan di dalam pelan pembangunan KSSA.

"Dalam pelan (pembinaan KSSA) memang ada kawasan untuk mereka berniaga. Kita jamin hampir semua, kita akan letakkan balik termasuk di ruangan yang telah ditetapkan.

"Insya-Allah, saya sudah jaminkan itu. Saya akan pastikan kesemua peniaga dapat meniaga, (tetapi) yang berlesen, bukan yang masuk secara tidak sah," katanya mengulas rintihan dan kebimbangan segelintir peniaga di kawasan itu yang mendakwa hanya sebahagian mendapat tempat untuk kawasan khas berkenaan  selepas KSSA siap.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Himpunan Penjawat Awam Selangor dan Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri Selangor 2024 di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz di sini hari ini.

Pada Disember tahun lepas, Amirudin dilaporkan berkata pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah mengeluarkan kelulusan kebenaran merobohkan Stadium Shah Alam dan kerja-kerja perobohan akan dilaksanakan selepas pemaju memenuhi keperluan yang diwajibkan pihak berkuasa tempatan itu.

Proses perobohan Stadium Shah Alam dilapor melibatkan kos RM35.5 juta dengan pembinaan semula stadium berkapasiti 40,000 penonton itu dijangka siap pada hujung 2026, manakala pembangunan keseluruhan KSSA selesai menjelang akhir 2029.  

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan