AM > BERITA

PRK Nenggiri: Mohd Azmawi Sudah Lama Berbakti Pada Orang Asli, Penduduk Kampung

05/08/2024 02:35 PM

GUA MUSANG, 5 Ogos (Bernama) -- Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani bukanlah individu asing bagi masyarakat Orang Asli dan penduduk kampung di sini.

Malah, Tok Batin Kampung Orang Asli Kuala Lah, Ali Lateh berkata Ketua Pemuda UMNO Kelantan yang mesra disapa Awi itu disenangi penduduk yang sering meminta bantuannya dalam pelbagai hal mendesak atau kecemasan, sejak sebelum PRK lagi.

"Orang Asli kampung ini memang kenal sangat dengan Awi sebab kami selalu jumpa dia, jadi kami senang dengan dia.

"Kalau ada penduduk Orang Asli yang sakit dan perlu ke Kota Bharu untuk mendapatkan rawatan, kami pergi jumpa dia (Awi) untuk minta bantuan menampung kos pengangkutan sebab perjalanan jauh," kata wakil penduduk dari suku kaum Mendriq itu kepada Bernama.

Ali, 74, berharap Mohd Azmawi Fikri meneruskan khidmat baktinya untuk masyarakat Orang Asli Kuala Lah jika menang pada PRK itu nanti sebagaimana sebelum ini.

Kerusi DUN Nenggiri mempunyai 20,259 pemilih berdaftar dengan lebih 2,500 daripadanya merupakan pengundi suku kaum Temiar, manakala lebih 900 orang lagi dari suku kaum Mendriq.

Penduduk Kampung Bertam Lama Ismail Nik Mustapah pula berkata Mohd Azmawi Fikri yang membesar di Gua Musang juga tidak kekok menyantuni masyarakat setempat bagi mendengar permasalahan mereka.

"Awi ni budak bagus, walaupun dia muda tetapi dia boleh rapat dengan semua lapisan umur. Dia tidak kira sokong biru (BN) ke hijau (PAS) dia dengar semua masalah," kata warga emas yang berusia 85 tahun itu.

Seorang lagi penduduk Kampung Bertam Lama Mohd Azhari Hasan, 58, berkata Mohd Azmawi Fikri sangat mudah dihubungi jika terdapat sebarang masalah yang ingin disampaikan kepadanya.

"Bila pak cik telefon Awi minta dia datang sebab ada orang sakit, kalau dia tak datang hari ini pun, mungkin esok dia akan sampai. Sudah lama dia buat kerja, bukan sebab nak jadi calon baru-baru ini sahaja," katanya.

Pada PRK yang ditetapkan hari mengundi pada 17 Ogos ini, Mohd Azmawi Fikri berdepan pertandingan satu lawan satu dengan calon PAS Mohd Rizwadi Ismail.

PRK DUN Nenggiri diadakan susulan kekosongan kerusi yang diumum Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun, berikutan bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan