AM > BERITA

Abang Johari Berpuas Hati Dengan Pencapaian Sarawak

05/08/2024 06:04 PM

KUCHING, 5 Ogos (Bernama) -- Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berpuas hati dengan pencapaian negeri itu, dan menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan dalam memastikan keamanan dan pembangunan negara.

Beliau berkata dengan melihat masa hadapan yang cerah, Sarawak perlu mengoptimumkan peluang yang ada dengan mempelbagaikan peluang ekonomi baharu, seperti penubuhan hab industri aeroangkasa.

“Kita sedang berbincang dengan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz tentang aeroangkasa.

“Kita juga telah memulakan fakulti aeroangkasa di Kolej Universiti ICATS dengan sokongan pensyarah dari Univerisiti Teknologi Malaysia, Singapura dan Amerika Syarikat.  Kami berharap langkah ini akan membantu mempelbagaikan ekonomi Sarawak dan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan untuk generasi muda,” katanya ketika berucap pada majlis Jamuan Teh Jabatan Premier Sarawak di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.

Sebelum ini, Tengku Zafrul dilaporkan berkata kerajaan bercadang menjadikan Sarawak sebagai hab industri aeroangkasa negara, dan cadangan itu merupakan antara perkara yang dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Penyelarasan Industri Sarawak, baru-baru ini.

Abang Johari berkata adalah penting agar hak negeri dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dihormati oleh sesiapa sahaja yang menjadi Perdana Menteri.

“Dalam pertemuan bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, tiga hari lepas di Kuala Lumpur, masalah berkaitan kuasa ke atas tanah dan simpanan karbon di continental shelf telah diselesaikan dengan baik dan beliau mengakui hak-hak tersebut.

“Dengan semua pencapaian ini, adalah penting kita melatih pemimpin muda untuk meneruskan usaha pembangunan negeri dan memperkukuh ekonomi bagi masa depan yang lebih cerah,” tambahnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan