AM > BERITA

26 Usul Dikumpul Dalam Sidang Anak Muda K2K

05/08/2024 06:12 PM

PUTRAJAYA, 5 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 26 usul yang dibangkitkan dalam Sidang Anak Muda Program Kita-untuk-Kita (K2K) telah dikumpulkan dan bakal diangkat untuk dipertimbangkan dalam agenda pembangunan negara serta Belanjawan 2025 pada Oktober ini.

Think City menerusi kenyataan hari ini memaklumkan usul yang membangkitkan isu penting termasuk sosioekonomi, keusahawanan, pematuhan undang-undang serta kesihatan mental akan dikemukakan kepada kementerian dan agensi berkaitan di peringkat kerajaan Persekutuan.

“(Langkah itu) supaya suara serta cadangan yang dibentangkan dapat dipertimbangkan dalam agenda pembangunan negara dan Belanjawan 2025 pada akhir tahun ini,” menurut kenyataan itu. 

Think City ialah anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional Bhd yang ditubuhkan pada 2009 untuk menghasilkan pelestarian bandar yang lebih saksama demi faedah bersama.

Sidang Anak Muda K2K merupakan inisiatif untuk melatih dan melahirkan pemimpin pelapis muda yang berkualiti sejajar dengan keperluan negara, dan melalui sidang ini peserta diperkasa dengan kemahiran berdebat, berbincang serta menyelesaikan masalah sebagaimana dalam suasana Parlimen.

Sementara itu, Pengarah Urusan Think City Datuk Hamdan Abdul Majeed dalam kenyataan sama berkata Sidang Anak Muda K2K telah membuka lembaran baharu dalam usaha pemerkasaan komuniti dan transformasi perumahan awam.

“Usaha pembaharuan persekitaran hanya boleh berlaku melalui pendekatan dari bawah ke atas dengan penyertaan komuniti yang aktif dan berterusan.

“Inisiatif seperti ini harus diperluas agar lebih ramai warga komuniti perumahan awam khususnya warga belia dapat melibatkan diri dan menerajui usaha transformasi ke arah pembentukan bandar yang berdaya huni, mampan dan inklusif," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan