AM > BERITA

Cuepacs Seru Penjawat Awam Tingkatkan Prestasi, Selari Kenaikan Gaji

05/08/2024 07:27 PM

KUALA TERENGGANU, 5 Ogos (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyeru penjawat awam supaya sentiasa memberikan komitmen tinggi dan meningkatkan prestasi kerja selari dengan kenaikan gaji.

Presidennya Datuk Dr Adnan Mat berkata beliau percaya dengan kadar baharu gaji yang akan diumumkan perinciannya, kerajaan mahu melihat penjawat awam membuktikan kemampuan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Kenaikan gaji atau kadar baharu gaji ini diumumkan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) pada 1 Mei lepas dan perinciannya akan diumumkan 16 Ogos ini, manakala pelaksanaannya pula pada Disember. Maksudnya kerajaan hendak lihat lebih awal sumbangan kita (penjawat awam) sebelum gaji dinaikkan.

“Jangan lagi ada soal integriti dan soal yang boleh dipertikai oleh netizen (masyarakat) kerana mereka ini mata dan telinga kerajaan. Kita sentiasa diperhatikan walaupun kita beri yang terbaik, sedikit kelemahan sudah pasti akan menjadi isu besar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perhimpunan Inspirasi Gemilang Penjawat Awam Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu Bersama Presiden Cuepacs di Auditorium Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini hari ini.

Bagaimanapun, Adnan memberi jaminan bahawa penjawat awam sentiasa memberikan komitmen tinggi dalam menjalankan tugas dan ia dibuktikan melalui peranan penting dimainkan mereka sebagai barisan hadapan semasa penularan pandemik COVID-19 beberapa tahun lepas. 

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi) Datuk Mohd Shaiful Ibrahim berkata penjawat awam boleh menyemak dan mengetahui kadar baharu gaji pada minggu depan susulan pelarasan gaji menerusi Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang diperkenalkan kerajaan.

Beliau berkata perincian berkenaan mekanisme pelarasan gaji penjawat awam itu akan diumumkan Perdana Menteri semasa Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-19 pada 16 Ogos ini.

Pada 1 Mei lepas, Perdana Menteri mengumumkan skim gaji penjawat awam naik lebih 13 peratus bermula 1 Dis tahun ini.  

 -- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan