AM > BERITA

Bawa Pulang Pingat Atau Tidak, Perjuangan Atlet Di Paris Dihargai - Ahmad Zahid

06/08/2024 12:00 AM

KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) -- Tatkala rakyat Malaysia meraikan kejayaan atlet negara memperoleh pingat pada temasya Sukan Olimpik Paris 2024, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru penghargaan turut diberikan kepada mereka yang berjuang membawa nama negara di peringkat antarabangsa, termasuk di temasya paling berprestij itu.

Beliau berkata kejayaan para atlet bukan sahaja diukur melalui pencapaian pingat, tetapi juga melalui semangat juang dan usaha keras yang telah ditunjukkan.

“Terima kasih Raja Pecut Negara - Muhammad Azeem Mohd Fahmi, atlet berbasikal lebuh raya wanita negara - Nur Aisyah Mohamad Zubir dan atlet pelayaran negara - Khairulnizam Mohd Afendy dan Nur Shazrin Mohamad Latif.

“Kejayaan mereka untuk bertanding di peringkat antarabangsa, satu kebanggaan bagi seluruh rakyat Malaysia. Teruskan berjuang dan bangkit dengan lebih kuat!,” katanya menerusi hantaran di platform X, malam ini.

Malaysia setakat ini telah meraih dua pingat gangsa yang dihadiahkan oleh kem badminton negara melalui kejayaan beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik semalam, serta pemain badminton perseorangan lelaki Lee Zii Jia, malam ini. 

Seramai 26 orang atlet Malaysia daripada sembilan jenis sukan membawa cabaran negara pada Sukan Olimpik Paris 2024.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan