AM > BERITA

Projek Perumahan Baharu Perlu Ada Blok Rumah MADANI - PM

06/08/2024 11:59 AM

KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Jabatan Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diarah menyediakan blok perumahan MADANI untuk setiap projek baharu, bagi memastikan golongan berpendapatan rendah dapat memiliki rumah. 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu merupakan syarat penting yang ditetapkan bagi memastikan projek perumahan baharu dapat diluluskan, sekali gus memanfaatkan rakyat.  

“Syaratnya mesti ada satu atau dua blok rumah MADANI untuk rakyat memanfaatkan… kerana perumahan MADANI untuk menyantuni kepentingan bukan sahaja penjawatan awam, tetapi kelompok B40 dan M40 yang lebih susah.

“Orang kaya, buatlah rumah banyak mana pun berapa puluh juta pun buatlah, saya tak peduli…tetapi rakyat yang lain harus dibantu, sebab itu mengapa jentera kerajaan harus dikerahkan supaya menyelesaikan masalah perumahan yang sangat rumit. Saya lihat senarai 60,000 orang menunggu untuk dapat rumah bandar raya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Peluncuran Perumahan Penjawat Awam Malaysia MADANI di Bandar Sri Permaisuri di sini hari ini. 

Anwar berkata syarat tersebut merupakan satu ketegasan kerajaan hari ini, kerana mengambil kira projek perumahan terdahulu yang tidak menekankan kepentingan rumah mampu milik untuk rakyat.

“Sebab itu saya kata kalau tegas pimpinannya, tegas penjawat awam, banyak boleh selesai kerana kalau tak tegas, dia dapat setengah juta, dia tutup kes sebab itu dulu - tiada penekanan seperti hari ini. 

“Blok ratio, syarat hijau, taman, tapak sekolah, itu semua ‘tersakau’ kerana tidak memikirkan soal rakyat,” katanya. 

Justeru beliau sekali lagi mengingatkan supaya semua pihak tidak memandang ringan soal tatakelola, rasuah dan ketirisan kerana perkara itu mempunyai kesan kepada nasib rakyat. 

Beliau berkata sekiranya amanah dapat dijaga, negara boleh dibersihkan daripada jenayah rasuah dan sekali gus meningkatkan kedudukan negara di rantau ini. 

Menyentuh nilai ringgit yang menunjukkan kadar peningkatan yang baik ketika ini, Anwar mahu faedah nilai mata wang negara itu digunakan secara langsung kepada rakyat dengan menyediakan projek yang boleh memanfaatkan mereka. 

“Sebab itu di Wilayah Persekutuan dari awal saya tekankan mesti beri penekanan projek-projek yang menyantuni rakyat secara langsung,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan