AM > BERITA

Syarikat Pembinaan Jangan 'pilih Bulu', Utamakan Tenaga Mahir Tempatan - Ahmad Zahid

06/08/2024 12:39 PM

KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Semua syarikat pembinaan diingatkan agar tidak ‘pilih bulu’ dan perlu mengutamakan tenaga mahir tempatan dalam melantik pekerja sektor berkenaan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. 

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata kerajaan akan menanggung kerugian dalam jangka masa panjang sekiranya sektor pembinaan terus bergantung kepada pekerja asing.

“Pihak pemaju perumahan, kontraktor dan subkontraktor jangan pilih bulu dalam mencari pekerja-pekerja dalam sektor pembinaan

“Ya, kos mungkin kurang kalau pekerja asing diambil tapi dari segi jangka panjang kos ditanggung oleh negara dan kos kepada GDP (Keluaran Dalam Negara Kasar)...akan merugikan negara maka dalam keadaan begitulah pada hemat saya apa dilakukan ABM (Akademi Binaan Malaysia) dan CIDB (Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan) Technologies adalah langkah proaktif yang harus mendapat dukungan daripada pihak kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Pelancaran Slogan 'CIDB Peneraju TVET Pembinaan' bersempena Majlis Graduasi ABM & CIDB Technologies 2024 di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad dan Pengerusi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia Ir Yusof Abd Wahab.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata kerajaan juga mahu sektor pembinaan Malaysia digerakkan sepenuhnya oleh tenaga mahir tempatan.

Beliau sangat prihatin berhubung isu berkaitan TVET kerana katanya pada tahun ini sahaja kira-kira 60,000 jurutera diperlukan namun permintaan itu tidak dapat dipenuhi tenaga tempatan terutama dalam kerja-kerja berkemahiran.

“Untuk itu saya amat berterima kasih kepada 12 rakan menteri dengan 12 kementerian ini mempunyai TVET dan antara TVET paling aktif adalah daripada Kementerian Kerja Raya di bawah CIDB,” katanya.

Selain itu, beliau berkata Majlis TVET Negara kini mempunyai sekretariatnya sendiri dan diletakkan di bawah Pejabat Timbalan Perdana Menteri susulan langkah-langkah penyelarasan yang dilakukan.

“Ini menunjukkan keseriusan kerajaan dan semestinya saya sendiri sentiasa melakukan penyelarasan, pemantauan dan tindakan susulan dengan melihat segala perincian tentang pelaksanaannya,” katanya. 

Ahmad Zahid turut menyeru semua institusi TVET seluruh negara yang menawarkan program berkaitan pembinaan untuk merujuk kepada CIDB, bagi memastikan sijil kemahiran yang dikeluarkan mereka melalui proses persetaraan dan akreditasi oleh badan itu.

Hal itu berikutan langkah CIDB mewujudkan Kerangka Kelayakan Kemahiran Pembinaan (CSQF) sebagai kerangka dan sistem yang direka bentuk untuk menyediakan pendekatan berstruktur bagi pembangunan kemahiran dan latihan dalam industri pembinaan di Malaysia, katanya.

Beliau berkata menerusi CSQF, pelbagai penambahbaikan dilaksanakan CIDB seperti memperoleh Standard Pensijilan ISO/IEC 17024:2012; memperkasakan bahan pengajaran dan pembelajaran; membangunkan usahawan TVET Pembinaan selain memberi fokus kepada latihan berimpak tinggi.

Menurut Ahmad Zahid kejayaan pelaksanaan CSQF akan menjadikan CIDB sebagai pusat TVET industri pembinaan dan meletakkan Malaysia sebagai hab profesional mahir dalam arena pembinaan global, sekali gus menepati Visi TVET Malaysia Madani untuk menjadi negara maju berpaksikan modal insan berkemahiran.

Pada majlis itu, seramai 150 graduan termasuk 15 lepasan cemerlang menerima Sijil Kompetensi Kemahiran Pembinaan (SKKP) terdiri daripada pelbagai tred kemahiran antaranya penjaga jentera (chargeman), operasi kren, pemasangan paip gas serta kimpalan paip dan perancah. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan