AM > BERITA

MB Selangor Akui Belum Dimaklum, Terima Jemputan Mesyuarat KHSB Di Luar Negara

06/08/2024 03:36 PM

SHAH ALAM, 6 Ogos (Bernama) -- Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata beliau belum dimaklumkan atau menerima jemputan berhubung Mesyuarat Lembaga Pengarah Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB) yang didakwa kononnya akan diadakan di luar negara.

Beliau berkata mengikut amalan, sebarang aktiviti di luar negara yang melibatkan anak syarikat kerajaan negeri perlu mendapat kelulusan daripada lembaga pengarah syarikat dan dibawa ke pengetahuan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sebelum dipanjangkan kepada Pejabat Menteri Besar.

"Walaupun nama saya ada disebutkan, saya tidak tahu apa-apa kerana perkara itu belum melepasi tahap lembaga pengarah syarikat dan jika dipanjangkan kepada saya, tidak semestinya saya perlu ikut cadangan berkenaan.

Sesuatu aktiviti atau mesyuarat luar negara hendak diadakan mestilah mengambil kira kepentingan dan keperluan kepada syarikat seperti syarikat mempunyai aset dan projek di lokasi cadangan yang perlu dilawati semasa aktiviti berlangsung," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis pecah tanah pembinaan menara SkyCity di bandar digital i-City di sini hari ini.

Pada 31 Julai lepas, KHSB dilaporkan berkata kandungan laporan sebuah portal berita mendakwa bahawa Mesyuarat Lembaga Pengarah syarikat itu kononnya akan diadakan di Perth, Australia dari 23 hingga 27 Ogos 2024 tidak memberikan gambaran tepat kepada orang awam kerana ia hanyalah salah satu cadangan dalaman yang masih belum mendapat sebarang kelulusan daripada Lembaga Pengarah KHSB.

Amirudin berkata beliau menyerahkan kepada pihak Lembaga Pengarah KHSB sama ada ingin menilai semula cadangan dalaman itu atau sebaliknya, namun menegaskan setiap aktiviti yang dirancang hendaklah mengambil kira keperluan dan kapasiti syarikat selain mempunyai kaitan langsung kepada kepentingan KHSB.

Dalam perkembangan lain, Amirudin berkata kerajaan negeri mengambil maklum keresahan penduduk berhubung kehadiran pekerja warga asing yang mendiami kawasan perumahan flat serta rumah-rumah kedai yang disewa sebagai tempat kediaman.

Beliau berkata usaha mengatasi isu penginapan kepada pekerja asing itu sedang dilakukan dengan pembangunan projek Penginapan Pekerja Berpusat (CLQ) yang sedang berjalan antaranya di Laman Bestari, Bandar Sultan Suleiman di Klang.

"Isu ini berlaku di semua tempat termasuk di luar negeri dan dalam hal ini, kerajaan negeri dengan pihak berkuasa tempatan kena bantu koordinasi, satu daripadanya dengan menumpukan kepada pembangunan CLQ yang sedang berjalan.

Realiti sekarang, situasi itu juga berlaku bergantung kepada pemilik premis yang bersedia menyewakan premis mereka kepada warga asing kerana jika tidak disewakan, tidaklah mereka duduk di sana," katanya mengulas laporan akhbar berhubung lebih 1,000 warga asing 'menjajah' kawasan perumahan di Puncak Alam di sini dengan menguasai kediaman flat serta rumah-rumah kedai di kawasan itu sejak sekian lama.

Amirudin berkata setakat ini tiada kekangan bagi tuan rumah atau pemilik premis menyewakan premis masing-masing kepada pekerja warga asing kerana itu adalah hak mereka selaku pemilik selagi kedua-dua pihak tidak melakukan perkara yang menyalahi undang-undang negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan