AM > BERITA

MAIK Terima Wakaf Tunai Lebih RM10 Juta Sejak 2015

06/08/2024 04:30 PM

KOTA BHARU, 6 Ogos (Bernama) -- Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menerima wakaf tunai melebihi RM10 juta yang disumbangkan oleh dermawan sejak tahun 2015 sehingga 2023.

Yang Dipertua MAIK Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata daripada jumlah sumbangan itu, sebanyak RM9.2 juta telah diagihkan dan dimanfaatkan dalam pelbagai segmen kesihatan, kebajikan, pendidikan dan pembangunan projek.

Beliau berkata hasil sumbangan wakaf tunai diperolehi menerusi penyumbang serta dermawan yang konsisten membuat sumbangan pada setiap hari sehingga MAIK telah merekodkan kekerapan melebihi 1,000 transaksi.

“Selain daripada wakaf tunai, bagi tempoh yang sama MAIK turut menerima sebanyak 1,547 lot tanah yang telah diwakafkan dan didaftarkan di bawah kawalan MAIK selari dengan peruntukan Seksyen 61 Enakmen MAIK 1994.

“Sebahagian besar tanah-tanah yang diwakafkan telah dimanfaatkan antaranya untuk pembinaan masjid, perkuburan Islam, tahfiz, bangunan perniagaan, sekolah Kompleks Islam Jubli Perak untuk menempatkan pelajar tahfiz dan anak yatim serta sebagainya,” katanya dalam Majlis Pelancaran Bulan Wakaf dan Apresiasi Kepada Pewakaf MAIK, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Tengku Mohamad Rizam berkata terdapat juga tanah wakaf telah dimanfaatkan untuk pertanian yang menjadi sumber sekuriti makanan negara dan 500 keluarga menetap di atas tanah wakaf berkenaan.

“Selain itu, dua tapak perkuburan terancang telah dibangunkan di jajahan Kota Bharu dan Pasir Mas. MAIK mengucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan negeri, agensi Kerajaan Persekutuan dan semua pihak yang mengimarahkan ibadah wakaf,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan