AM > BERITA

Nelayan Terlibat Penjualan Diesel Bersubsidi Akan Dibatal Kelayakan

06/08/2024 05:06 PM

KUALA TERENGGANU, 6 Ogos (Bernama) -- Nelayan yang didapati terlibat dalam kegiatan menjual diesel di laut akan dibatalkan kelayakan subsidi, kata Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Muhammad Faiz Fadzil.

Muhammad Faiz berkata arahan penutupan premis juga akan diambil terhadap mana-mana pusat jualan diesel nelayan yang didapati menjalankan aktiviti penyelewengan.

"Kita akan ambil tindakan segera tutup premis jualan diesel nelayan kalau terlibat ketirisan dan penyelewengan. Nelayan juga kalau terlibat, kita batalkan kelayakan untuk dapat subsidi.

"Tetapi daripada kajian kita, tidak berlaku ketirisan atau jualan ketara di laut seperti yang digembar-gemburkan sesetengah pihak. Kalau ada kes terpencil, sebab kos operasi terbesar nelayan adalah minyak iaitu 60 peratus," katanya selepas merasmikan Program Rahmah Mesra MADANI Bersama Nelayan di Pelabuhan Chendering, di sini hari ini.

Pada majlis yang turut dihadiri Pengarah LKIM Terengganu Ahmad Nadzri @ Abdul Zaim Madri dan Pengerusi Persatuan Nelayan Terengganu (Penentu) Mat Yassin Mohamed itu, Muhammad Faiz telah menyampaikan peralatan menangkap ikan bernilai RM225,000 kepada 99 nelayan dari seluruh negeri.

Dalam pada itu, Muhammad Faiz berkata LKIM juga menyasarkan untuk membuka lima lagi Kedai Runcit Nelayan termasuk di Kedah dan Selangor pada tahun ini.

Beliau berkata pembukaan premis itu diharap mampu meningkatkan pendapatan golongan nelayan yang hanya bergantung kepada aktiviti menangkap ikan.

"Setakat ini kita dah ada 10 premis dengan empat daripadanya terletak di Terengganu. 

"Selain menyediakan tempat untuk pemasaran produk nelayan, kita juga mahu premis itu untuk membantu mereka mempelbagaikan kegiatan ekonomi supaya tidak terlalu bergantung kepada aktiviti di laut," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan