AM > BERITA

755 Pelajar Terima Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah

06/08/2024 05:40 PM

KOTA KINABALU, 6 Ogos (Bernama) -- Seramai 755 pelajar telah menerima manfaat daripada Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah (BCNS) sehingga tahun lepas, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah itu berkata RM132.6 juta biasiswa berkenaan telah disalurkan melalui program yang dikendalikan yayasan itu sejak 1990 bagi membantu pelajar negeri itu melanjutkan pengajian mereka ke institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara.

"Pemberian BCNS ini bertujuan untuk melahirkan lebih ramai individu dari Sabah yang mampu bersaing di peringkat global. Diharap pelajar akan terus berusaha keras untuk mencapai kejayaan lebih cemerlang di masa depan," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah ke-35 yang turut dihadiri Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi negeri Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif dan Pengarah Yayasan Sabah Datuk Seri Ghulam Haidar Khan Bahadar.

Pada majlis itu, 88 pelajar menerima biasiswa cemerlang iaitu 40 pelajar menerima BCNS, 40 pelajar menerima Anugerah Biasiswa Cemerlang Kerajaan Negeri Sabah (BCKNS), dan lapan pelajar menerima Anugerah Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).

Hajiji berkata antara 2022 hingga tahun lepas, sebanyak RM1.04 juta dibelanjakan untuk BCKNS yang memanfaatkan 20 pelajar, manakala Anugerah MUIS diberikan kepada 50 pelajar sejak 2020.

Beliau berkata sejak 1967 hingga tahun lepas, Yayasan Sabah telah membelanjakan RM704.5 juta untuk biasiswa, dermasiswa dan pinjaman pengajian tinggi membantu 44,075 pelajar Sabah.

Tahun lepas kerajaan negeri telah menambah peruntukan Anugerah Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) daripada RM50 juta kepada RM101 juta dengan 7,304 pelajar mendapat penajaan untuk melanjutkan pengajian dalam dan luar negara, kata Hajiji.

“Kerajaan sentiasa komited dalam memperkasa pembangunan modal insan melalui pelbagai pembiayaan pendidikan seperti biasiswa, bantuan pendidikan, sumbangan zakat, dan pinjaman pendidikan.

“Inisiatif ini bertujuan meringankan beban ibu bapa dan memastikan anak-anak tidak tercicir dalam pendidikan serta dapat melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi. Matlamat kami adalah untuk melahirkan individu yang berdaya saing, berkemahiran, dan berkualiti tinggi,” katanya.

Hajiji berkata dengan ilmu pengetahuan dan pendidikan tinggi, anak-anak kita dapat bersaing dan berjaya, serta menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negeri ini.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan