AM > BERITA

'MADANI Jiwa Merdeka' Lagu Tema Hari Kebangsaan 2024 Bangkit Semangat Muhibah

06/08/2024 10:08 PM

Oleh Samantha Tan Chiew Tieng

PUTRAJAYA, 6 Ogos (Bernama) -- Lagu tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia bertajuk ‘MADANI Jiwa Merdeka’ dilancarkan hari ini, merupakan lagu patriotik yang unik dengan iringan paluan alat muzik tradisional seperti sitar, tabla dan gendang.

Pengarah Muzik Radio Televisyen Malaysia (RTM) Datuk Mokhzani Ismail berkata lagu dan lirik ciptaan Affan Mazlan, hasil gubahan beliau sendiri dan dinyanyikan Amir Masdi itu, antara lagu terbaik pernah diterbitkan sepanjang menjadi pengerusi lagu tema Hari Kebangsaan.

Beliau mengakui bukan tugasan mudah untuk menghasilkan sebuah lagu bersifat moden dan patriotik untuk menarik perhatian rakyat Malaysia yang pelbagai bangsa dan agama.

“Tahun ini saya diberi peluang menggalas tanggungjawab dan tanya pencipta muda, Affan Mazlan berminat (cipta lagu tema). Apabila dengar lagu dia, saya dapat idea untuk masukkan elemen pelbagai etnik Melayu, Cina dan India,” katanya kepada Bernama.

Beliau ditemui selepas majlis perhimpunan bulanan Kementerian Komunikasi yang turut melancarkan lagu tema itu oleh Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, di sini hari ini.

Mokhzani berkata lagu tema 'MADANI Jiwa Merdeka' bukan sekadar lagu, tetapi apabila diperdengarkan kepada seluruh rakyat Malaysia ia mampu membangkitkan satu semangat menyambut Hari Kebangsaan ke-67 tahun ini.

“Lirik lagu itu boleh timbulkan rasa kecintaan kepada negara selain bersatu hati dan semangat muhibah. Lagu itu sendiri akan menyatukan semua bangsa tidak kira pegangan agama dan latar belakang. Saya harap seluruh rakyat dengar dan nyanyi dengan semangat muhibah,” katanya.

Mokhzani turut berhasrat lebih ramai pencipta muda dapat bekerjasama dengan beliau dan RTM, untuk menghasilkan lagu-lagu bersifat moden dan patriotik yang dapat membangkitkan semangat perpaduan.

Sementara itu, komposer Affan, 24 tahun berkata lagu tema Hari Kebangsaan tahun ini yang beliau bekerjasama dengan Mokhzani untuk untuk menjadikan lagu itu moden dan hebat, dengan memasukkan elemen muzik orkestra pelbagai etnik.

“Lagu ini ini cara saya untuk ada lagu yang dinyanyikan bersama dengan beberapa bahagian dalam lagu itu liriknya menarik, agar seluruh rakyat Malaysia dapat nyanyi bersama agar semua orang dapat menghayati maksud lagu itu," katanya.

Mengambil masa dua bulan menyiapkan lagu tema itu, Affan berkata beliau berharap agar seluruh rakyat Malaysia dapat bersama-sama menyanyi lagu MADANI Jiwa Merdeka dan menyemai semangat MADANI dalam diri masing-masing dan hargai kemerdekaan.

Lagu tema itu merupakan yang kedua dipilih untuk Hari Kebangsaan ke-67. Lagu tema Hari Kebangsaan 2023 bertajuk ‘Tekad Perpaduan Penuhi Harapan’ juga merupakan ciptaan Affan.

“Rasa gembira lagu ciptaan dipilih lagu tema Hari Kebangsaan, sebab ia merupakan satu tanggungjawab yang besar. Saya banyak rujuk kepada lagu luar (negara) dan bukan lagu patriotik sebab kita nak sasarkan setiap lapisan masyarakat. Kita tidak boleh terlampau korporat atau pop, kena cari keseimbangan,” katanya.

Terdahulu, Fahmi dalam amanatnya turut menyeru warga Kementerian Komunikasi bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang, bagi menjayakan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 yang dilancarkan pada 21 Julai.

Beliau meminta ketua jabatan untuk menyampai mesej dan pandangan kepada kakitangan, untuk bersama meraikan dan menyambut Hari Kebangsaan dengan satu semangat patriotisme yang jitu.

“Semoga dengan usaha kita, bukan hanya kita sambut dan raikan apabila atlet-atlet kita menang di persada dunia, tapi kita sambut kemerdekaan dan wujudnya negara berdaulat bernama Malaysia ini setiap hari,” katanya.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan