AM > BERITA

Muzium Sultan Alam Shah dibuka semula November ini

06/08/2024 10:26 PM

Oleh Norhidayyu Zainal

NARATHIWAT (Selatan Thailand), 6 Ogos (Bernama) -- Muzium Sultan Alam Shah di Seksyen 14, Shah Alam akan dibuka semula pada November ini selepas ditutup untuk memberi laluan kepada kerja-kerja menaik taraf dan pengubahsuaian yang dilakukan sejak 2019.

Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor Borhan Aman Shah berkata pembukaan semula muzium negeri itu bakal mengaplikasi penggunaan teknologi baharu termasuk Kod QR dalam menyampaikan maklumat kepada pengunjung.

"Selain tampil dengan wajah baharu dalam setiap pameran, kita menyediakan ruangan khas buat kanak-kanak, atau KidZone, sebagai tarikan baharu dalam menarik pengunjung khususnya si cilik.

"Saya tidak mahu mereka menganggap muzium sebagai tempat yang hanya menyimpan barang lama dan antik sebaliknya turut menjadi lokasi untuk menimba ilmu," katanya kepada pemberita selepas berkunjung ke Muzium Manuskrip Al-Quran Melayu Raya di sini hari ini ketika lawatan kerja lima hari sempena program Silang Budaya Selangor dan Thailand 2024.

Silang Budaya adalah program tahunan yang bermula tahun lepas melibatkan lawatan kerja ke negara anggota ASEAN terpilih bagi memperkenal dan mempromosikan seni serta budaya Selangor ke peringkat antarabangsa.

Pada tahun ini, program itu berlangsung di Thailand khususnya di Wilayah Songkhla, Pattani dan Narathiwat bagi mengeratkan jalinan kerjasama kedua-dua pihak menerusi pemerkasaan budaya, seni serta warisan.

Borhan juga berkata pihaknya berhasrat menjalin kerjasama dengan Muzium Manuskrip Al-Quran Melayu Raya Narathiwat untuk berkongsi ilmu dan kepakaran mengenai usaha memperkasa Bahasa Melayu selain proses memelihara serta memulihara al-Quran sempena pembukaan muzium negeri itu nanti.

"Saya berharap dengan usaha ini, semua kitab dan al-Quran lama khususnya yang dikumpul di Selangor terus dipelihara selain menggalakkan rakyat Selangor menyumbang bahan berkaitan bagi tujuan pemuliharaan sekali gus menjadi rujukan generasi akan datang," katanya.

Beliau turut mengadakan pertemuan dengan Speaker Pentadbiran Wilayah Narathiwat Sarahudin Abu.

Pertemuan hampir dua jam itu adalah bagi menyantuni dan bertukar pandangan selain sebagai usaha meningkatkan hubungan utuh serta diplomasi budaya antara kedua-dua pihak.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan