AM > BERITA

Malaysia harap rundingan damai di Sudan berjaya dicapai - PM Anwar

06/08/2024 10:45 PM

KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Malaysia menyuarakan harapan agar rundingan yang sedang diusahakan untuk mewujudkan gencatan senjata dan kestabilan berkekalan di Sudan, berjaya dicapai.

Harapan itu disuarakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menerima kunjungan hormat Pemangku Menteri Luar Negeri Sudan Hussein Awad Ali Mohamed di Putrajaya hari ini.

“Perbincangan kami tertumpu kepada konflik di Sudan khususnya mengenai status rundingan untuk mewujudkan gencatan senjata dan kestabilan yang berkekalan di Sudan serta situasi kemanusiaan yang membimbangkan yang dihadapi oleh rakyat Sudan.

“Saya telah menyuarakan harapan agar rundingan damai yang sedang diusahakan ini berjaya dicapai supaya Sudan dapat kembali menjadi sebuah negara berpotensi besar serta kemampuan dan keupayaan rakyatnya dalam meneruskan usaha-usaha ke arah kemajuan dan pembangunan,” kata Anwar menerusi hantaran di laman Facebook.

Perdana Menteri berkata Malaysia sentiasa berusaha menyalurkan sokongan selain berdoa semoga keamanan dan kestabilan Sudan akan tercapai bagi membolehkan rakyatnya menikmati kestabilan politik dan sosioekonomi yang berkekalan di negara itu.

Anwar berkata Hussein Awad juga menyampaikan penghargaan Kerajaan Sudan atas bantuan Kerajaan Malaysia kepada negara dan rakyatnya yang memberi impak sangat bermakna.

Hussein Awad yang sedang dalam lawatan ke Malaysia untuk menghadiri satu persidangan bertajuk “Sudan: The Forgotten War’ turut menyampaikan warkah Presiden Majlis Kedaulatan Peralihan Sudan kepada Anwar. 

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan