AM > BERITA

Ibu Mangsa Kemalangan Maut Masih Bersedih

07/08/2024 02:46 PM

KUALA TERENGGANU, 7 Ogos (Bernama) -- Ibu kepada mangsa kemalangan maut, Rohana Mamat, 53, masih tidak dapat melupakan peristiwa yang menimpa anak bongsunya, 27 Julai lepas.

Rohana berkata kemalangan yang meragut nyawa Muhammad Haniff Idham Mohd Azmi, 24, menyebabkan dia trauma dan tidak mampu memasuki bilik tidur anaknya itu kerana sentiasa terbayangkan kelibat arwah.

"Selepas kejadian itu, saya memang susah nak tidur malam. Setiap kali teringat, mesti air mata mengalir laju.

"Bilik arwah pun baru semalam saya dapat jenguk. Sebelum ini memang tak boleh masuk bilik dia kerana teringat-teringat bau anak. Terbayang-bayang kelibat dia masuk bilik ketika balik kerja," katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian faedah PERKESO kepada waris di Wisma PERKESO, di sini hari ini.

Pada 27 Julai lepas Muhammad Haniff Idham dan bakal tunangnya, Nurshabirah Izzani Zulkurnain, 22, meninggal dunia di Unit Kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) akibat kemalangan melibatkan empat buah kenderaan di Jalan Kemajuan, di sini.

Rohana berkata Muhammad Haniff yang bekerja sebagai jurujual di sebuah syarikat pembekal barangan kenderaan merupakan seorang anak yang sangat taat dan tidak pernah culas memberikannya wang saku setiap bulan.

Oleh itu beliau berhasrat untuk menggunakan semua wang pencen PERKESO diterima untuk tujuan derma dan ibadah haji arwah anaknya yang sepatutnya memulakan kerja di pelantar minyak pada 1 Ogos lepas.

"Insya-Allah saya akan gunakan wang ini untuk kebajikan arwah. Semoga  pahala sentiasa mengalir untuk arwah," katanya.

Sementara itu, Pengarah PERKESO Farihah Che Husin berkata waris Muhammad Haniff Idham dan Nurshabihah akan menerima pencen penakat seumur hidup.

Manakala bagi waris Nurshabirah, beliau berkata selain kedua ibu bapa, pihaknya juga akan memberikan wang pencen kepada tiga adik-beradiknya sehingga mereka berusia 21 tahun.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan