AM > BERITA

Menara KL Anjur Pelbagai Aktiviti Menarik Sepanjang Kempen Merdeka Madness

07/08/2024 03:48 PM

KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Buat julung kalinya bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan, Menara Kuala Lumpur menganjurkan pelbagai aktiviti menarik untuk disertai pengunjung, selain menawarkan diskaun tiket 60 peratus sepanjang Kempen “Merdeka Madness” yang berlangsung selama 47 hari bermula 1 Ogos.

Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd Nazli Saad berkata sepanjang tempoh itu, pengunjung tempatan berpeluang menikmati diskaun sebanyak 60 peratus bagi tiket lawatan ke Sky Deck dengan RM28 bagi dewasa dan RM15 untuk kanak-kanak; Observation Deck RM12 (dewasa) dan RM8 (kanak-kanak) sementara Tower Walk 100 pula RM8 (dewasa) dan RM6 (kanak-kanak).

“Pada tahun lepas ketika kempen kali pertama, kita hanya menawarkan diskaun, tiada sebarang pengisian program, namun kali ini kita mengadakan pelbagai aktiviti yang amat berbaloi.

“Satu daripada aktiviti yang kita susun atur sepanjang tempoh kempen ialah pencahayaan menara dengan lampu daripada warna bendera 14 negeri di Malaysia bermula pukul 8 malam hingga 12 malam,” katanya ketika menjadi tetamu pada program temu bual di Bernama Radio di sini hari ini.

Nazli berkata pihaknya turut menganjurkan Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan untuk memberi peluang kepada pengunjung menyampaikan puisi patriotik dengan tema kemerdekaan di pentas khas dan mereka berpeluang memperoleh ganjaran.

Beliau berkata orang ramai juga boleh mengekspresikan Menara Kuala Lumpur dalam erti kemerdekaan melalui pertandingan fotografi dan videografi.

Selain itu, Nazli berkata kempen dimeriahkan lagi dengan penyediaan ruang permainan tradisional yang semakin hilang ditelan zaman seperti congkak dan batu seremban secara percuma bagi memberi peluang kepada pengunjung tempatan dan pelancong luar mengenali aktiviti generasi lepas di Malaysia.

“Kita juga ada menyajikan persembahan muzik dan kebudayaan oleh The Sky Band untuk menghiburkan pengunjung yang datang dengan lagu patriotik, selain ada pertunjukan wayang kulit dan dikir barat dengan  kolaborasi bersama pihak ketiga,” katanya.

Beliau berkata orang ramai yang mengunjungi restoran berputar ARAS yang terletak pada ketinggian 282 meter dari aras tanah pula akan diberikan tiket percuma untuk memasuki Sky Deck dan Observation Deck.

Paling menarik, satu festival durian akan diadakan di bawah menara berkenaan pada Jumaat ini dan pengunjung yang hadir berpeluang menikmati raja buah itu secara bufet dengan pelbagai pilihan mengikut harga pasaran.

“Objektif kempen ini bertujuan menarik lebih ramai pengunjung tempatan untuk hadir kerana statistik menunjukkan sepanjang 28 tahun beroperasi, 80 peratus yang mengunjungi Menara Kuala Lumpur ialah pelancong luar negara dan hanya 20 peratus terdiri daripada pengunjung tempatan.

“Langkah ini merupakan antara cara untuk meningkatkan jumlah pengunjung tempatan. Tahun lepas, jumlah pengunjung tempatan meningkat kepada 40 peratus, jadi boleh dikatakan promosi kempen ini agak berkesan selepas ia dilaksanakan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan