AM > BERITA

Guna Logo LHDN Tanpa Kebenaran Satu Kesalahan Di Bawah Akta 414

07/08/2024 05:36 PM

PUTRAJAYA, 7 Ogos (Bernama) -- Penggunaan logo Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) oleh mana-mana pihak tanpa kebenaran merupakan satu kesalahan di bawah Bahagian 1, Jadual 1, Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tak Wajar) 1963 (Akta 414).

Dalam satu kenyataan hari ini, agensi pentadbir cukai itu memaklumkan pihaknya memandang serius terhadap penyalahgunaan logo atau rujukan tersebut di mana-mana platform atau sebarang kegunaan yang boleh mengelirukan orang ramai.

“LHDN tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang terlibat mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, LHDN menasihatkan orang ramai agar tidak menggunakan logo agensi pentadbir cukai itu atau sebarang rujukan kepada LHDN bagi tujuan pemasaran, pengiklanan atau seumpamanya di media cetak, media sosial, penerbitan video serta lain-lain medium tanpa kebenaran.

Menurut kenyataan itu, tiada sebarang penggunaan logo agensi pentadbir cukai itu atau rujukan kepada LHDN boleh dilakukan tanpa kebenaran. 

LHDN memaklumkan beberapa siri peringatan telah dikeluarkan sebelum ini kepada orang ramai menerusi kenyataan media serta infografik berkaitan sindiket penipuan yang menggunakan nama dan logo LHDN.

Oleh itu, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan mengelakkan diri daripada menjadi mangsa.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan