AM > BERITA

Kerajaan Belum Terima Maklumat Tepat Punca Meta Turunkan Kandungan Media Sosial PM

07/08/2024 05:35 PM

PUTRAJAYA, 7 Ogos (Bernama) -- Kerajaan belum menerima maklumat tepat daripada Meta Platforms Inc (Meta) berhubung tindakan menurunkan sebahagian kandungan di akaun Facebook dan Instagram milik Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata Meta bagaimanapun menyatakan komitmen untuk terus mengadakan perbincangan dan menerima maklum balas serta input daripada kerajaan. 

“Sehingga Isnin lalu, kita tidak dapat maklumat tepat mengenai apa yang mengakibatkan konten dan kandungan dimuat naik dalam Facebook dan Instagram (PM) diturunkan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Semalam, Anwar dilapor sudah menerima permohonan maaf daripada Meta berhubung tindakan menurunkan kandungan berkaitan isu Palestin di akaun Facebook dan Instagram milik beliau.

Pada Isnin, Bahagian Media dan Komunikasi Strategik Pejabat Perdana Menteri telah memanggil Meta untuk memberikan penjelasan berhubung perkara itu.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan pula melahirkan rasa jelik terhadap tindakan Meta menurunkan hantaran Anwar di platform Facebook serta Instagram pada 14 Mei dan 30 Julai lepas, yang menzahirkan ucapan takziah dan penghormatan terhadap Ketua Biro Politik Hamas Ismail Haniyeh yang dibunuh baru-baru ini.

Fahmi turut meminta semua pihak termasuk pengamal media untuk memberikan kerjasama kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung apa jua siasatan yang dilaksanakan oleh pasukan keselamatan itu. 

“Saranan saya adalah untuk beri kerjasama dengan baik. Bagaimanapun, seperti yang saya telah nyatakan sebelum ini dari segi sumber, kita di Kementerian Komunikasi hormati hak rakan media lindungi maklumat mengenai apa disebut sebagai whistleblower atau pemberi maklumat.

"Namun undang-undang sedia ada (masih) terpakai,” katanya.

Portal media tempatan sebelum ini melaporkan satu siasatan akan dijalankan oleh PDRM berhubung laporan sebuah portal yang menyiarkan berita mengenai rombakan besar-besaran dalam kepimpinan tertinggi polis.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan