AM > BERITA

Blok Perumahan Madani Bukti Kerajaan Prihatin Masalah Rakyat

07/08/2024 07:26 PM

Oleh Rozainah Abdul Rahim

KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Inisiatif kerajaan menyediakan blok perumahan MADANI bagi setiap projek baharu untuk membantu golongan berpendapatan rendah memiliki kediaman di ibu negara membuktikan kerajaan prihatin dengan nasib rakyat yang masih tidak memiliki rumah.

Bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata harga rumah yang ditawarkan nanti juga mestilah pada harga mampu milik.

“Diharapkan projek yang dilaksanakan nanti jangan hanya menguntungkan pemaju dan harga yang ditawarkan tidak terlalu tinggi.

“Perbincangan juga perlu dilakukan untuk turut melaksanakan inisiatif itu di kawasan sempadan Kuala Lumpur dan Selangor supaya kesesakan di ibu negara dapat dikurangkan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau juga berpandangan pelaksanaan projek perumahan baharu juga memerlukan perancangan baharu berikutan tanah di Kuala Lumpur semakin terhad.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Jabatan Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyediakan blok perumahan MADANI bagi setiap projek baharu untuk memastikan golongan berpendapatan rendah dapat memiliki rumah. 

Anwar berkata perkara itu merupakan syarat penting yang ditetapkan bagi memastikan projek perumahan baharu dapat diluluskan sekali gus memanfaatkan rakyat.

Sementara itu, pekerja sektor gig, Muhammad Solihin Marzuki, 31, berkata inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan golongan B40 turut mempunyai peluang memiliki kediaman mampu milik.

“Kebanyakan projek perumahan di ibu negara ketika ini melibatkan kos yang sangat tinggi dan ia di luar kemampuan kami yang bekerja biasa. Inisiatif kerajaan ini sedikit sebanyak memberi kami peluang untuk turut memiliki rumah,” katanya.

Kakitangan swasta Elin Mastura Mohd Khir, 29, pula berharap agar satu mekanisme dapat diperkenalkan bagi memastikan blok perumahan MADANI yang dikhususkan kepada golongan berpendapatan rendah itu tidak dimonopoli oleh pihak tertentu.

“Saya sangat bersetuju dengan langkah kerajaan tetapi perlu dilihat bagaimana kerajaan dapat pastikan inisiatif ini benar-benar sampai kepada golongan sasar.

“Justeru, saya cadangkan agar individu yang sudah isytihar secara total pendapatan isi rumah menerusi sistem Pangkalan Data Utama (PADU) sahaja layak untuk memohon atau membeli rumah di bawah blok rumah MADANI ini,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan