AM > BERITA

Usaha Malaysia Lesenkan Platform Media Sosial Tarik Perhatian Banyak Negara - Fahmi

08/08/2024 01:03 PM

KUCHING, 8 Ogos (Bernama) -- Usaha Malaysia untuk melesenkan platform media sosial telah mendapatkan perhatian beberapa negara yang menyatakan minat untuk menuruti langkah berkenaan, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau berkata badan kawal selia komunikasi United Kingdom (UK), Ofcom, menjadi antara yang menghubungi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi mengetahui lebih lanjut berkaitan pelaksanaan inisiatif itu. 

“Pihak Singapura juga ada bertanya negenai proses pelesenan itu, (namun) penting untuk diingatkan bahawa lain negara mempunyai lain cara (pelaksaaan) mengikut undang-undang terpakai di negara tersebut. 

“Saya percaya bila kita mempengerusikan ASEAN 2025, lebih banyak (negara) yang akan ingin mengetahui pencapaiannya dan apa yang telah berjaya kita lakukan berdasarkan proses pelesenan yang akan berkuat kuasa 1 Jan 2025,” katanya. 

Fahmi berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2023 zon Sarawak, di sini hari ini.

Terdahulu dalam ucapan perasmiannya beliau berkata langkah Malaysia berhubung pelesenan itu telah ‘membuka mata’ negara lain untuk tidak membiarkan platform media sosial terus mengaut keuntungan dan melanggar undang-undang negara.

“Ini kali pertama sebuah badan kawal selia barat (Ofcom) menghubungi kita dan bertanya bagaimana untuk melesenkan kerana mereka sudah berhempas pulas berusaha menyelesaikan isu ini begitu lama. 

“Jadi kita mungkin jadi penggerak pertama dalam isu ini sebab rata-rata banyak kerajaan seluruh dunia merasakan bahawa syarikat teknologi besar ini tidak boleh lagi berbuat sesuka hati mengumpul kekayaan tanpa mematuhi peraturan dan undang-undang. Ia akan berakhir tidak lama lagi,” katanya.

Sebelum ini Fahmi dilaporkan berkata mana-mana platform yang tidak mempunyai lesen selepas 1 Januari 2025 boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 126 akta berkenaan, berdasarkan garis panduan yang dibina bersama dan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. 

Majlis APC 2023 Kementerian Komunikasi zon Sarawak menyaksikan 80 warga kerja jabatan di bawah kementerian itu yang bertugas di seluruh Bumi Kenyalang menerima anugerah. 

Turut hadir Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) Kementerian Komunikasi Mazlan Abd Mutalib, Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Datuk Suhaimi Sulaiman dan Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Julina Johan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan