AM > BERITA

Tingkatkan Kemahiran Kerja Untuk Kembalikan Status Harimau Asia - Fadillah

08/08/2024 01:47 PM

KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Bernama) -- Kemahiran tenaga kerja perlu ditingkatkan untuk meningkatkan daya saing negara dan mengembalikan status Malaysia sebagai Harimau Asia, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata untuk menghasilkan tenaga kerja yang mahir, golongan pekerja perlu mengasah kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis dalam menyelesaikan masalah serta berinovasi dalam melaksanakan tugasan.

Katanya selaras dengan usaha meningkatkan kemahiran tenaga kerja, tumpuan juga perlu diberikan kepada aspek penyelidikan dan pembangunan (R&D).

"Kita perlu memikirkan cara untuk memudahkan dan mempercepatkan kerja kita serta mencari kaedah baru yang boleh memperincikan tugas yang dilaksanakan. Dalam setiap pekerjaan, kita harus memikirkan cara-cara baru untuk menyelesaikan masalah secara lebih berkesan.

"Kita perlu meningkatkan mutu kerja dengan pekerja yang mahir, berilmu, kreatif, dan inovatif untuk mencari penyelesaian kepada pelbagai masalah, cabaran serta sistem kerja," katanya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) di sini hari ini.

Pada majlis itu, seramai 380 kakitangan IWK menerima sijil antaranya Sijil Penganugerahan Pengiktirafan Khas SKM Tahap 3, Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) dan Penganugerahan SKM Tahap 2.

Sementara itu, Pengerusi IWK Ahmad Johnie Zawawi ketika berucap pada majlis sama berkata program Persijilan Kemahiran Malaysia yang diperkenalkan kepada kakitangan operasi IWK sejak 2019 itu membuktikan komitmen IWK dalam mengoptimumkan dan menghasilkan lebih ramai kakitangan yang berkemahiran.

"Ia selaras dengan hasrat dan sasaran kerajaan untuk mentransformasikan bidang pendidikan dan latihan teknikal ke alaf baru sesuai dengan cabaran yang memerlukan kemahiran dan kompetensi tinggi demi mempertingkatkan tahap kecekapan perkhidmatan sesebuah organisasi," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan