AM > BERITA

Indeks Volum Perkhidmatan Tumbuh 6.7 Peratus Pada Suku Kedua 2024

08/08/2024 02:54 PM

PUTRAJAYA, 8 Ogos (Bernama) -- Indeks volum perkhidmatan mencatatkan pertumbuhan kukuh 6.7 peratus pada suku kedua 2024 dengan 152.2 mata, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan dalam indeks itu meliputi empat segmen iaitu segmen perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman dan penginapan; perkhidmatan perniagaan dan kewangan; maklumat dan komunikasi dan pengangkutan dan penyimpanan serta perkhidmatan lain.

Beliau berkata indeks volum bagi segmen perniagaan dan kewangan tumbuh 10.4 peratus dengan merekodkan 144.7 mata diikuti segmen perdagangan borang dan runcit serta makanan dan minuman dan segmen penginapan sebanyak 5.1 peratus dengan 152.6 mata.

“Peningkatan ini turut didorong oleh segmen maklumat dan komunikasi dan pengangkutan dan penyimpanan iaitu enam peratus dan segmen perkhidmatan lain 7.4 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi perbandingan suku tahunan pula, beliau berkata indeks volum perkhidmatan bagi suku tahun kedua 2024 naik 1.2 peratus yang disumbang oleh peningkatan segmen perdagangan borong dan runcit; segmen makanan dan minuman dan penginapan diikuti segmen maklumat dan komunikasi dan pengangkutan dan penyimpanan (1.8 peratus) serta segmen perkhidmatan lain (0.9 peratus).

Mohd Uzir berkata bagaimanapun, segmen perkhidmatan perniagaan dan kewangan turun -0.1 peratus.

Indeks volum pelarasan musim pula, katanya mencatatkan pertumbuhan 3.9 peratus berbanding suku tahun pertama 2024.

Beliau berkata prestasi itu dipacu oleh pertumbuhan segmen perdagangan borong dan runcit; makanan dan minuman dan penginapan (4.9 peratus); segmen perkhidmatan perniagaan dan kewangan (3.3 peratus); segmen maklumat dan komunikasi dan pengangkutan dan penyimpanan (1.9 peratus) serta segmen perkhidmatan lain (5.7 peratus).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan