AM > BERITA

Dua Lelaki Filipina Dikhuatiri Lemas, Bot Dilanggar Di Perairan Semporna

08/08/2024 02:52 PM

SEMPORNA, 8 Ogos (Bernama) -- Dua warga Filipina dikhuatiri lemas selepas bot dinaiki empat lelaki dilanggar sebuah bot lain di perairan Pulau Sebangkat di sini pada awal pagi, Selasa lepas.

Pengarah Zon Maritim Semporna Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Komander Maritim Amir Shubli berkata dalam kejadian pada kira-kira 6 pagi itu, seorang lelaki warga Filipina cedera parah, manakala seorang lagi terselamat.

Beliau berkata dua mangsa yang hilang dan dikhuatiri lemas dikenali sebagai Rommek Tura dan Jimal, kedua-duanya berusia 30 tahun.

"Dua lagi lelaki dikenali sebagai Bocoi dan Reymar, masing-masing berumur 30 tahun. Reymar mengalami kecederaan parah di lengan, lutut serta belakang badan dan mendapat rawatan kecemasan di Hospital Semporna," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

"Bot yang dinaiki empat mangsa ini dikatakan keluar ke laut pada 5 Ogos (Isnin) pada pukul 5 petang. Individu yang melanggar bot mangsa melarikan diri," katanya.

Amir berkata Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kota Kinabalu mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat mangsa setelah mendapat maklumat daripada polis sekali gus mengatur gerak aset  Bot Bangi 11 serta Bot Adal 18 milik Zon Maritim Semporna ke lokasi kejadian.

"Kawasan operasi pencarian diperluaskan kepada lima sektor dengan tambahan radius kawasan kepada 27 batu nautika persegi," katanya.

Beliau berkata operasi pencarian itu turut melibatkan Tentera Laut Diraja Malaysia, Pasukan Polis Marin, Angkatan Pertahanan Awam serta Taman-Taman Sabah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan