AM > BERITA

Peruntukan RM303 Juta Untuk Kukuh Fasiliti TDM Di Sarawak

08/08/2024 04:19 PM

KUCHING, 8 Ogos (Bernama) -- Kementerian Pertahanan memperuntukkan RM303 juta untuk memperkukuhkan fasiliti Tentera Darat Malaysia (TDM) di Sarawak, kata Menterinya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Mohamed Khaled berkata peruntukan itu antara lain akan digunakan untuk projek pembinaan kem TDM.

“Jumlah itu (RM303 juta) tidak termasuk peruntukan perolehan peralatan untuk TDM di Sarawak yang bernilai RM70 juta,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Kem Penrissen di sini hari ini.

Beliau berkata Kementerian Pertahanan juga sedang membina beberapa pos kawalan di sempadan Sarawak-Kalimantan.

“Sekarang ini kita dah ada 17 pos sempadan di Sarawak. Kita sedang bina beberapa pos baharu dan setelah siap nanti Sarawak bakal ada 23 pos kawalan,” katanya.

Beliau berkata kementeriannya serta kerajaan Sarawak juga telah bersetuju untuk menubuhkan satu jawatankuasa kerja bagi memastikan semua projek Kementerian Pertahanan di negeri itu berjalan lancar.

“Ini adalah komitmen kita bagi memperkasakan pertahanan di Sarawak, jawatankuasa ini diharap dapat mengatasi sebarang cabaran berkaitan pembinaan projek pertahanan di negeri ini,” katanya. 

Sementara itu, mengenai pembinaan Markas Wilayah Laut 4 (MAWILLA 4) di Bintulu, Mohamed Khaled berkata projek itu masih di peringkat penyelesaian isu tanah.

“Peruntukan tahun ini untuk pembayaran duit premium (tanah) MAWILLA 4 sudah ada. Selepas selesai soal pembelian tanah nanti kita akan kemukakan kepada kerajaan Persekutuan bagi pembinaan dan kosnya juga akan ditentukan kemudian,” katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan