AM > BERITA

Curi Air: SPAN Serbu Dua Tapak Pembinaan Landasan Kereta Api

08/08/2024 04:58 PM

KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Bernama) — Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) hari ini menyerbu dua lokasi tapak pembinaan landasan kereta api di Taman Melati, Gombak dan Serendah, Hulu Selangor, yang dikesan mencuri air melalui penyambungan bekalan air secara tidak sah.

Pengarah Unit Penguatkuasa Bahagian Penguatkuasaan SPAN Ainal Yusman Mohamad Yusop berkata anggaran sebanyak 250,000 meter padu air terawat telah dicuri dengan kerugian sekitar RM410,000 direkodkan dalam tempoh setahun penyambungan itu dibuat di kedua-dua lokasi berkenaan.

Beliau berkata operasi penguatkuasaan secara mengejut itu dilakukan setelah menerima aduan daripada Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

“Dalam operasi penguatkuasaan di Taman Melati, SPAN mendapati terdapat dua sambungan dengan menggunakan paip HDPE berukuran 25 milimeter (mm) dan 32mm secara terus kepada paip utama Air Selangor. 

“Sambungan disyaki tidak sah ini melibatkan penggunaan air yang disalurkan ke kawasan kediaman sementara pekerja untuk kegunaan harian dengan penggunaan dianggarkan sebanyak 175,000 meter padu melibatkan kerugian sekitar RM300,000,” katanya kepada pemberita ketika operasi penguatkuasaan di Taman Melati hari ini. 

Beliau berkata bekalan air daripada sambungan tidak sah ini juga turut dikesan ditakung ke dalam beberapa tangki simpanan air untuk kegunaan mencuci kenderaan yang keluar masuk ke tapak pembinaan.

Di Serendah pula, Ainal Yusman berkata penyambungan saluran tidak sah dikesan menggunakan paip HDPE berukuran 25 mm melibatkan penggunaan air sebanyak 75,000 dengan kerugian RM110,000 dalam tempoh sama.

Beliau berkata berdasarkan siasatan rekod mendapati premis berkenaan tidak mempunyai akaun bekalan air yang sah berdaftar dengan Air Selangor dan kesalahan itu adalah di bawah Seksyen 123(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655), dan siasatan lanjut akan dilakukan pihak SPAN.

“Di bawah peruntukan undang-undang Seksyen 123(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655), tiada seorang pun selain pemegang lesen boleh membuat apa-apa sambungan ke suatu sesalur utama awam atau paip air perkhidmatan.

“Jika disabitkan, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 123(3) dalam Akta sama,” katanya. 

Beliau tidak menolak kemungkinan penyambungan bekalan air secara tidak sah ini antaranya disebabkan untuk mengaut keuntungan lebih. 

Katanya, operasi penguatkuasaan SPAN ini diharapkan dapat meningkatkan kesedaran awam tentang kesalahan kecurian air dan penyambungan tidak sah sebagai satu daripada usaha mencegah kegiatan tidak bertanggungjawab ini.

“SPAN dari semasa ke semasa akan terus menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan di tapak-tapak pembinaan landasan kereta api untuk memastikan tiada lagi kegiatan sebegini,” katanya. 

Sehubungan itu, SPAN memohon kerjasama orang awam untuk melaporkan kes-kes disyaki melakukan kecurian secara WhatsApp ke talian 013 - 388 5000 atau e-mel ke aduan@span.gov.my.

— BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan