AM > BERITA

IDFR Berhasrat Jalin Hubungan Lebih kukuh Dengan Bernama

08/08/2024 06:26 PM

KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Bernama) -- Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR) menzahirkan hasrat untuk terus memperkukuh hubungan dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) terutama membabitkam aspek perkongsian maklumat dan liputan media.

Pengarah Pusat Pemerkasaan Kompetensi IDFR Datuk Westmoreland Palon berkata perkara itu amat penting bagi memastikan diplomat baharu yang bakal ditugaskan ke luar negara berupaya berkongsi sebarang maklumat, program mahupun perkembangan di negara beliau ditempatkan untuk hebahan di platform Bernama.

“Selain itu, penting untuk kita kukuhkan hubungan dua hala ini kerana Bernama adalah penyampai suara kerajaan, jadi selain dapatkan maklumat daripada Kementerian Luar dan pejabat menteri, kita juga perlu melihat maklumat yang dilaporkan oleh medi, jadi kita bergantung kepada Bernama.

“Ini kerana Bernama melaporkan pendirian kerajaan malah (dalam situasi tertentu) kebanyakan media luar juga rujuk kepada maklumat yang disebarkan dalam media tempatan selain maklumat rasmi daripada kementerian atau kedutaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan sesi perbincangan bersama pengurusan Bernama yang diwakili Ketua Pengarang agensi berita itu Arul Rajoo Durar Raj, Ketua Penyiaran (TV dan Radio) Mohd Shukri Ishak dan Editor Eksekutif Perkhidmatan Berita Mohd Haikal Mohd Isa di Wisma Bernama hari ini.

Hadir sama pada pertemuan lebih sejam itu 16 peserta Diploma in Diplomacy IDFR.

Bernama, yang ditubuhkan di bawah Akta Parlimen 1967 dan mula beroperasi pada Mei 1968, meliputi tiga perkhidmatan utama iaitu Bernama Wires, Bernama TV dan Bernama Radio serta mempunyai koresponden di tiga negara Asia Tenggara iaitu Thailand, Indonesia dan Singapura.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan