AM > BERITA

Citra Nusa@Muzium: Magis Belantara 2024 Himpun Empat Suku Kaum Orang Asli

09/08/2024 11:22 AM

KUALA LUMPUR, 9 Ogos (Bernama) -- Sempena Hari Orang Asli Sedunia hari ini, Jabatan Muzium Malaysia (JMM) menganjurkan Citra Nusa@Muzium: Magis Belantara 2024 di Dataran Muzium Negara, di sini yang menghimpunkan suku kaum masyarakat Orang Asli utama di Semenanjung Malaysia .

Ketua Muzium Seni Kraf Orang Asli, Jabatan Muzium Malaysia (JMM) Asmawi Mohamed Yunos berkata program selama dua hari bermula Sabtu ini, diadakan bertujuan menyemarakkan rasa muhibbah, menghormati silang budaya, dan memperdalam pemahaman terhadap kepelbagaian khazanah budaya di Malaysia, khususnya masyarakat Orang Asli.

Beliau berkata program yang berkonsepkan ‘budaya yang dipentaskan’ dengan tema ‘Dahulu dan Kini’ (The Past And The Present) akan mengumpulkan empat suku kaum utama masyarakat Orang Asli di Semenanjung iaitu Semai, Mah Meri, Temiar dan Temuan.

“Program ini melibatkan empat segmen iaitu warisan, sejarah, cara hidup dan kraftangan. Setiap segmen akan mempunyai persembahan kebudayaan tradisi, cerita rakyat, permainan tradisi, amalan tradisi, makanan dan makanan tradisional, serta reruai jualan.

“Melalui penganjuran program ini, pengunjung berpeluang melihat sendiri kepelbagaian budaya, seni, warisan dan sejarah masyarakat Orang Asli,” katanya ketika ditemui Bernama, di sini, baru-baru ini.

Selain itu, katanya antara keunikan dan kelainan penganjuran program tersebut kali ketujuh itu termasuklah Malam Gema Suara Dari Belantara yang buat julung kalinya menampilkan artis Orang Asli tahun 90-an, Itam Jelmol. Program juga dimeriahkan dengan persembahan artis kebudayaan Orang Asli.

“Seramai 200 pelajar dari Yayasan Sukarelawan Siswa turut hadir bagi mengisi aktiviti "Jejak Perpaduan Muzium" pada malam itu, selain ditugaskan berinteraksi secara langsung dengan masyarakat Orang Asli dalam pelbagai segmen yang telah disediakan,” katanya.

Sementara itu penglibatan JMM sebagai jambatan pengetahuan dalam program yang diadakan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), AsyikFM dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) itu, menjadikan muzium sebagai rujukan rasmi dan platform pembelajaran tidak langsung di negara ini.

“JMM, yang berperanan sebagai penjaga warisan negara menjadi platform pelaksaan perpaduan dalam kepelbagaian mengikut teras melalui program yang diadakan, dengan pendedahan tentang silang budaya antara masyarakat Orang Asli dengan kaum-kaum lain yang ada di Malaysia.

“Program ini merupakan satu peluang untuk mendokumentasikan data dalam pembentukan negara bangsa,” katanya.

Asmawi berkata program CITRA NUSA @MUZIUM: Magis Belantara wajar dilaksanakan berikutan siri program sebelum ini yang mendapat respons amat positif dan memberi manfaat kepada semua. 

“Pada 2019 sahaja, sejumlah 23,211 pengunjung hadir pada program ini yang sedikit sebanyak menunjukkan program ini memberi impak kepada masyarakat khususnya, dan juga sebagai penanda aras kepada keharmonian masyarakat majmuk. 

Asmawi berkata pihaknya juga mengharapkan penganjuran program itu dapat membentuk daya pemahaman dan jati diri yang kukuh dalam kalangan masyarakat mengenai pentingnya institusi pemuziuman sebagai pemangkin takrifan sejarah, budaya dan warisan, yang merupakan asas kepada pembentukan integrasi nasional.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan