AM > BERITA

Program Jualan Agro Madani Di Sarawak Catat Kejayaan - Pengerusi FAMA

09/08/2024 12:32 PM

LAWAS (Sarawak), 9 Ogos (Bernama) -- Program Jualan Agro Madani dilihat berjaya memenuhi matlamat penganjurannya, untuk memberi akses makanan asas kepada pengguna dan pada masa yang sama, peluang kepada usahawan tempatan di sekitar kawasan penganjuran untuk memasarkan produk mereka, kata Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Aminuddin Zulkipli.

Beliau yang ditemui di Pasar Tamu di sini berkata di Sarawak, beliau menganggarkan penganjuran program itu berjaya mencapai 90 peratus kejayaan.

“Harga yang ditawarkan dalam program ini adalah 10 hingga 30 peratus lebih rendah daripada harga pasaran dan program ini akan diteruskan sepanjang tahun ini,” katanya selepas perasmian Program Jualan Agro di sini yang diadakan sempena program Konvoi Road To MAHA 2024 di sini, hari ini.

Beliau berkata usahawan tani di Sarawak terutamanya digalakkan untuk menyertai dan memasarkan produk mereka di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) bermula 11 hingga 22 Sept.

Sementara itu Timbalan Menteri Industri Makanan Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Abdul Rahman Ismail berkata program Jualan Agro Madani memberi inspirasi kepada masyarakat Lawas untuk terus membangunkan produk tempatan.

“Kita perlu memanfaatkan kedudukan strategik Lawas dalam aspek jualan, agropelancongan, pelancongan budaya, dan pelancongan alam semula jadi. Lawas yang terletak di utara Sarawak, adalah kawasan strategik kerana berjiran dengan dua negara, Brunei dan Indonesia, serta negeri Sabah,” katanya.

Jelajah Road To MAHA 2024 @Sarawak menampilkan pelbagai aktiviti termasuk pameran teknologi moden pertanian, agropelancongan, di samping penganjiuran sesi dialog serta libat urus bersama dengan petani, penternak dan nelayan tempatan.

Program itu juga menjadi platform untuk membina jaringan antara pelbagai pihak berkepentingan yang terlibat dalam rantaian nilai pertanian dan ia merupakan kesinambungan daripada Road To MAHA 2024 @Sabah Julai lepas.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan