AM > BERITA

Kes Semantan: Kerajaan Hormat Keputusan Mahkamah, Namun Bimbang Implikasi Serius - PM

09/08/2024 04:15 PM

KUALA LUMPUR, 9 Ogos (Bernama) -- Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata terdapat keperluan untuk melihat semula dari sudut perundangan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang memihak kepada Semantan Estate Sdn Bhd (SESB), dalam isu pertikaian hak milik tanah seluas 263.272 ekar di Mukim Batu.

Perdana Menteri berkata walaupun kerajaan akur dan patuh dengan keputusan badan kehakiman, namun kerajaan berpendapat keputusan mahkamah itu boleh memberi implikasi yang sangat serius kepada negara.

Anwar berkata jika keputusan tersebut dijadikan ‘precedent’ untuk kes pertikaian tanah sama ada sebelum atau sejak Merdeka, negara juga akan menjadi apa yang disifatkan beliau sebagai “huru-hara”.

“Saya akan cadangkan kepada Jemaah Menteri untuk melihat semula perkara ini kerana kalau prinsip ini digunakan, bagaimana dengan tanah-tanah rakyat yang dulu diambil sejak Merdeka atau sebelum Merdeka, diambil untuk tujuan kerajaan, kemudian diambil alih oleh sektor swasta.

“Ataupun sektor swasta yang membeli tanah pertanian, kemudian minggu-minggu berikutnya tukar kepada tanah industri. Jadi orang yang jual harga yang sangat rendah dan dapat sangat tinggi, kalau semua guna prinsip yang ada sekarang ini diputuskan mahkamah, akan huru hara negara.

“Jadi itu sebab mengapa kita harus teliti semula, kita patuh dengan keputusan kehakiman… (tetapi) kita akan lihat implikasi undang-undang dan implikasi kepada negara itu sangat serius,” kata Perdana Menteri.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Garis Panduan Mengenai Pengurusan dan Tatakelola Badan Berkanun Persekutuan di sini hari ini. 

Ditanya bila perkara itu akan dibawa kepada Jemaah Menteri, beliau berkata ia dijangka dibincangkan minggu depan. 

Semalam Bernama melaporkan kerajaan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkannya untuk memindah milik tanah seluas 263.272 ekar (106.542 hektar) di Mukim Batu di sini kepada Semantan Estate.

Tanah yang terletak di lokasi utama Jalan Duta itu menempatkan antaranya Kompleks Lembaga Hasil Dalam Negeri, beberapa bangunan kerajaan, Stadium Hoki Nasional, Institut Kefahaman Islam Malaysia dan Masjid Wilayah Persekutuan.

Ia susulan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh memerintahkan kerajaan memindah milik tanah berkenaan kepada Semantan Estate selepas membenarkan saman pemula syarikat itu terhadap Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan selaku defendan.

Beliau juga menolak permohonan kerajaan untuk menangguhkan perbicaraan sementara menunggu cadangan penyelesaian oleh kerajaan berhubung pertikaian tanah berkenaan.

Pada 2003, Semantan Estate memfailkan saman terhadap kerajaan atas dakwaan pencerobohan yang berpunca daripada pengambilan tanah secara tidak sah daripada syarikat itu.

Pada 2009, Pesuruhjaya Kehakiman Zura Yahya memutuskan bahawa Semantan Estate mengekalkan kepentingan benefisialnya terhadap tanah seluas 263.27 ekar itu yang telah diambil alih oleh kerajaan secara tidak sah serta melakukan pencerobohan ke atas tanah terbabit.

Kerajaan kemudian mengemukakan rayuan namun ditolak pada 18 Mei 2012 dan pada 21 Nov 2012, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan kerajaan bagi kebenaran merayu keputusan itu.

Pada 2018, Mahkamah Persekutuan sekali lagi menolak permohonan kerajaan untuk menyemak semula keputusannya sebelum ini.

Semantan Estate memfailkan saman pemula terhadap Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan pada Februari 2017 untuk menguatkuasakan penghakiman Mahkamah Tinggi pada 2009.

Kerajaan juga telah mencadangkan penyelesaian berhubung pertikaian tanah itu.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan