AM > BERITA

Kerajaan Pahang Teruskan Pembiayaan I-PUSH Dengan Peruntukan Lebih RM10 Juta

09/08/2024 06:10 PM

KUANTAN, 9 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Pahang meneruskan Inisiatif Pembiayaan Kewangan Usahawan Mikro Negeri Pahang (I-PUSH) Fasa 3 dengan melibatkan peruntukan lebih RM10 juta, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Wan Rosdy berkata pelaksanaan inisiatif ini adalah sebagai usaha berterusan pihaknya untuk memberikan peluang kepada usahawan mikro mengembangkan perusahaan dan seterusnya mendapatkan peluang perniagaan yang lebih baik.

Beliau berkata melihat kepada keperluan untuk meningkatkan kapasiti usahawan, inisiatif I-PUSH berkenaan dilanjutkan pelaksanaannya dan sebanyak 1,988 permohonan telah diterima serta disaring dengan teliti. 

“Bagi I-PUSH Fasa 3 ini, sebanyak 1,132 usahawan yang menepati kriteria telah ditetapkan akan menerima kelulusan dengan jumlah pembiayaan keseluruhan daripada kerajaan negeri sebanyak RM10,495,300,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Pembiayaan pinjaman ini akan disalurkan melalui Bank Muamalat Malaysia Berhad dan semua urusan penyaluran dana dijangka akan selesai selewat-lewatnya pertengahan Ogos 2024.

Sementara itu, beliau berkata tindakan pemantauan termasuk lawatan dan semakan di lapangan untuk menilai keberkesanan inisiatif serta mengenal pasti potensi usahawan juga akan mula dilaksanakan dalam memperkasakan perkembangan usahawan dan perniagaan di seluruh Pahang.

“Saya berharap golongan usahawan dapat menggunakan insentif pembiayaan tanpa faedah yang disediakan ini untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran produk dan perkhidmatan masing-masing,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Rosdy memaklumkan menerusi dua fasa pelaksanaan I-PUSH sejak 2022, inisiatif ini telah memanfaatkan 2,293 usahawan dengan jumlah pembiayaan lebih RM20 juta.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan